Warga emas hilang sejak Khamis ditemui terjatuh dalam perigi

Keadaan mangsa yang ditemui terjatuh dalam perigi.
A
A

SITIAWAN - Seorang lelaki warga emas ditemui terjatuh di dalam perigi sedalam empat meter di kawasan kebun kelapa sawit, Batu 6, Lekir, selepas dia dilaporkan hilang sejak Khamis.

Chong Eng Koon, 70, ditemui orang awam dalam keadaan selamat sekitar jam 9.40 malam tadi selepas dia dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar menoreh getah menaiki motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan seorang lelaki warga emas pada jam 11.40 pagi Khamis lalu.

"Usaha mencari dijalankan dan malam tadi kami menerima panggilan memaklumkan orang ramai berjaya menemui motosikal mangsa di kawasan tersebut dan menggerakkan operasi mencari.

"Mangsa ditemui di dalam perigi dalam keadaan lemah dan anggota bertugas menggunakan tangga dan tali untuk membawanya keluar dari perigi berkenaan," katanya.

Koo Ham menenangkan mangsa yang kelihatan lemah selepas terjatuh dalam perigi.
Koo Ham menenangkan mangsa yang kelihatan lemah selepas terjatuh dalam perigi.

Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut memandangkan dia berada dalam keadaan lemah.

"Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 10.40 malam," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang turut hadir di lokasi kejadian mengucapkan terima kasih serta syabas atas tindakan pantas orang ramai serta pasukan penyelamat menyelamatkan mangsa.

"Lebih 30 orang bersama-sama berkumpul dan mencari mangsa dalam keadaan gelap dengan menggunakan lampu suluh dan mereka berjaya menemuinya di dalam perigi sebelum dibawa keluar," katanya.