Pilihan raya presiden: Kedutaan Kazakhstan dibuka 9 Jun depan

Tujuh calon bertanding bagi merebut jawatan presiden Kazakhstan pada pilihan raya kali ini.
Tujuh calon bertanding bagi merebut jawatan presiden Kazakhstan pada pilihan raya kali ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 12 juta rakyat Kazakhstan dijangka mengundi dalam pilihan raya presiden pada 9 Jun, yang membuka laluan ke arah era baharu republik itu 30 tahun selepas pemerintahan bekas presidennya, Nursultan Nazarbayev.

Kaunselor Kedutaan Kazakhstan di Kuala Lumpur, Dr Serik Amirov berkata, pengundian akan berlangsung dari jam 7 pagi hingga 8 malam di Kazakhstan dan Kuala Lumpur, manakala pusat pengundian akan turut dibuka di kedutaan itu bagi memudahkan proses pengundian bagi rakyat negara itu di sini.

"Pilihan raya presiden akan datang adalah yang paling kompetitif dan pelbagai dalam sejarah Kazakhstan kerana buat julung kalinya dalam perebutan bagi merebut jawatan presiden, kami mempunyai seorang calon wanita.

“Selepas presiden baharu dipilih, kerajaan (semasa) akan berundur dan kabinet baharu akan dibentuk. Pemilihan seterusnya yang penting ialah Pilihan Raya Parlimen pada 2020,” katanya dalam satu taklimat media di kedutaan itu di sini pada Jumaat.

Pilihan raya presiden itu dicetuskan oleh keputusan Kassym-Jomart Tokayev, yang dilantik sebagai presiden oleh Nazarbayev pada 20 Mac susulan pengumuman beliau untuk berundur pada 19 Mac.

Nazarbayev merupakan presiden pertama republik itu dan telah memegang jawatan tersebut selama 30 tahun.

Tokayev, yang juga Pengerusi Senat Parlimen, dijangka berkhidmat bagi baki penggal 2015 hingga 2020. Bagaimanapun, pada 9 April, Tokayev mengumumkan bahawa pilihan raya presiden akan diadakan pada 9 Jun.

“Bagi memastikan kestabilan sosial dan politik, untuk memberikan keyakinan dan menangani isu pembangunan sosioekonomi, adalah penting untuk menghapuskan sebarang ketidakpastian,” kata Tokayev dalam ucapannya di televisyen.

Artikel Berkaitan:

Sejumlah tujuh calon bertanding bagi merebut jawatan presiden pada pilihan raya ini.

Mereka ialah Tokayev, dari Parti Nur Otan, Sadi-Bek Tugel (Pergerakan Republikan Uly Dala Kyrandary), Amangeldy Taspikhov (Persekutuan Kesatuan Sekerja Kazakhstan), Daniya Yespayeva (Parti Demokratik Ak Zhol), Toleutai Rakhimbekov (Parti Sosial Demokratik Auyl), Zhambyl Akhmetbekov (Parti Rakyat Komunis) dan Amirzhan Kossanov (Parti Ult Tagdyry).

Amirov berkata, setakat ini, 67 pemerhati antarabangsa telah diakreditasi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) Kazakhstan.

Beliau berkata, pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Chin Phaik Yoong, dan seorang pegawai khas kepada pengerusi SPR Malaysia akan turut mengambil bahagian dalam pilihan raya itu sebagai pemerhati antarabangsa.

Tempoh kempen akan berakhir pada 8 Jun.

"Keputusan penjumlahan undi oleh unit pentadbiran dan wilayah akan ditentukan dalam sesi suruhanjaya wilayah dan akan dihantar kepada CEC dalam tempoh dua hari, selewat-lewatnya pada 11 Jun,” katanya.

Keputusan pilihan raya presiden dijangka diketahui dua hari selepas pengundian, namun keputusan rasmi hanya akan diumum pada 16 Jun. - Bernama