Dugaan besar menjelang Syawal!

Api sedang marak membakar salah sebuah rumah.
Api sedang marak membakar salah sebuah rumah.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sebuah keluarga bukan sahaja kerugian wang tunai berjumlah RM9,000 malah semua persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri musnah selepas rumah sewanya yang terletak di Kampung Kedai Lama, belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang 2 terbakar petang tadi.

Kebakaran jam 5.15 petang itu turut memusnahkan dua buah lagi rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

Bagaimanapun, salah sebuah daripada rumah itu tidak berpenghuni.

Mangsa, Fatma Mahamad, 31, berkata, dia berlapang dada dan menerima kejadian itu dengan hati terbuka.

Fatma (kiri) dan Khadijah hanya mampu berputih mata melihat rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran.
Fatma (kiri) dan Khadijah hanya mampu berputih mata melihat rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran.

"Satu dugaan besar buat saya apabila semua wang simpanan milik kami hangus terbakar, kerana ia akan digunakan untuk perbelanjaan menyambut Aidilfitri.

"Selain itu, ia juga untuk kegunaan ketika waktu kecemasan. Membuatkan saya lebih hiba apabila semua persiapan Aidilfitri turut musnah terutama baju raya dua orang anak kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dia lega apabila suami Shamsudin Mohamad, 31, berjaya menyelamatkan dua buah motosikal milik mereka daripada rentung.

Menurut Fatma, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar mengambil anak di sekolah sekitar jam 4 petang.

Seorang lagi mangsa, Khatijah Mahmud, 49, dan suaminya tidak berada di rumah kerana berniaga di bazar Ramadan Pekan Rantau Panjang.

Orang ramai memenuhi tempat kejadian.
Orang ramai memenuhi tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.21 petang.

Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tunjong telah dikerah ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.

"Kami ambil masa selama lima minit untuk kawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.

"Ketika kami sampai, tiga buah rumah sedang terbakar. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, kecekapan anggotanya berjaya menyelamatkan tiga buah rumah berhampiran daripada musnah.