X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka dipilih sebagai tuan rumah imbau detik 63 tahun

Gobind Singh Deo - Bernama
A
A

MELAKA - Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 3 Ogos ini akan diadakan di negeri ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata Melaka dipilih sebagai tuan rumah acara itu bagi mengimbau detik 63 tahun lepas yang kemerdekaan negara ini diumumkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Bandar Hilir di sini pada 20 Feb 1956.

“Kabinet membuat keputusan memilih Melaka atas sejarah pengumuman kemerdekaan itu. Saya dimaklumkan ada tiga tempat dicadangkan dan keputusan kemudian YAB (Ketua Menteri Melaka Adly Zahari) akan dapatkan pandangan pihak terlibat.

“Tiga tempat itu ialah Dataran Pahlawan, MITC (Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka) dan Memorial Kemerdekaan, selain itu ada cadangan di Klebang. Tahun lalu di Pulau Pinang ada 10,000 orang hadir, tahun ini di Melaka mungkin lebih,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau membuat kunjungan ke atas Adly di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Hasim Hasan, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Al-Ishsal Ishak dan ketua jabatan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di negeri ini.

Gobind berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadiri acara pelancaran itu pada sebelah malam 3 Ogos ini yang bertemakan Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran perjalanan acara itu, sebuah jawatankuasa ditubuhkan dan jawatankuasa itu dijadual membuat perbincangan pada 20 Jun ini.

Ditanya tentang peruntukan bagi acara itu, beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah peruntukan tersebut namun menjelaskan peruntukan itu sudah mempunyai bajet sendiri yang diluluskan oleh Kabinet.

“Peruntukan ini kami dapat daripada kerajaan pusat daripada KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) kalau boleh sedikit daripada kerajaan negeri. Penting tiga acara ini Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kepada kita. Juga penting hari istimewa seperti ini kita raikan.

“Bila kita lihat detik bersejarah seperti ini saya rasa penting untuk kita raikan bersama, kita ingat kembali apa yang berlaku pada masa lalu, bagaimana kita capai kemerdekaan sehingga sekarang kita sebagai satu negara telah tunjuk kepada dunia kita hidup aman tenteram bersatu,” katanya. – Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus