Ops Selamat: PDRM tekan empat aspek minimum kadar kemalangan

Abdul Hamid (tengah) merasmikan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara TM Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Abdul Hamid (tengah) merasmikan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara TM Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited memantau semua jalan-jalan utama seluruh negara bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pengguna terjamin dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan ketika musim perayaan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, terdapat empat perkara yang ditekankan PDRM menerusi Op Selamat 15/2019 yang akan bermula pada 29 Mei sehingga 12 Jun.

"Empat aspek berkenaan, penguatkuasaan undang-undang jalan raya, mengekalkan pelaksanaan konsep subtek di peringkat kontinjen, memberi tumpuan kepada kontinjen serta daerah yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi serta menggunakan pendekatan berteraskan 'total enforcement'.

"Total enforcement ini melibatkan rondaan di kawasan 'blackspot', Op Lancar dan advokasi serta kempen jalan raya," katanya pada Majlis Pelancaran Op Selamat 15 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2019, di Menara TM Bangsar, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dan Pengerusi Telekom Malaysia Berhad, Rosli Man.

Abdul Hamid berkata, berdasarkan laporan statistik Op Selamat 13/2018 lalu, sebanyak 22,411 kes kemalangan dilaporkan berbanding Op Selamat 11/2017 dengan 22,402 kes sekaligus mencatatkan peningkatan sembilan kes iaitu 0.04 peratus.

Katanya, bagaimanapun kadar kemalangan maut menunjukkan penurunan sebanyak empat kes (1.7 peratus), bagi kes kematian pula menurun sebanyak sembilan kes (3.5 peratus).

"Statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa Op Selamat 13/2018 berjaya memberi impak yang berkesan dalam menurunkan kadar kematian. Manakala peningkatan kes kemalangan secara khususnya dilihat seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan di seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri, jika tertangkap saman maksimum RM300 akan dikeluarkan.

"Kita serius dengan perkara ini, sekiranya anda rasakan RM300 ini jumlah yang kecil, silalah langgar peraturan," katanya.