Menjejaki penduduk Long Busang

Mohd Rosli (tengah) ketika penyerahan sumbangan Bakul Kasih Ramadan kepada Yusuf (dua dari kiri) di Long Busang, Belaga, Sarawak baru-baru ini.
A
A

BARU-BARU ini penulis berpeluang ke perkampungan Long Busang yang terletak di daerah Belaga, Sarawak. Jika diikutkan radius perjalanan darat, jarak antara perkampungan itu dengan Kuching lebih 720 kilometer.

Nama Long Busang memang wujud dalam carian Google Maps, namun, untuk ke sana, tiada penunjuk arah yang spesifik. Paling terdekat untuk memastikan seseorang tidak tersesat ialah berdasarkan petunjuk Sungai Balui dan Sungai Llang.

Bayangkan bagaimana perjalanan penulis bersama rombongan Yayasan Ikhlas yang ke sana demi menjayakan Projek Baik Pulih Masjid Darul-Rahmah, Long Busang, Sarawak dan Sumbangan Bakul Kasih Ramadan.

Turut menyertai program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli; Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Kamaruddin Kassim dan dua lagi sukarelawan. Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Untuk ke kampung itu, ia mengambil masa lebih setengah hari dengan menggunakan jalan laut dan darat.

Minoriti Islam

Menelusuri historiografi kampung berkeluasan tiga hektar itu, memang unik. Kampung Long Busang telah diasaskan oleh orang Islam meskipun 70 peratus penduduknya beragama Kristian.

Kepada Sinar Islam, Ketua Kampung Long Busang, Yusuf Zawawi berkata, sekitar tahun 1975 perkampungan itu sudah wujud dan diasaskan oleh arwah bapanya, Zawawi Bilong.

"Penduduk kampung terdiri daripada suku Kenyah Badeng yang berasal daripada Baram dan Miri.

"Ketika zaman pemerintahan British, ramai yang kurang senang (tinggal di situ) kerana takut diserang. Kami berpindah-randah lebih kurang 20 tahun sebelum menemui kawasan ini," katanya sambil menjelaskan bapanya dan penduduk kampung lain menjumpai penempatan itu sekitar tahun 1972.

Bermula dengan 30 buah keluarga, kini, penduduk di situ berkembang melebihi 1,000 orang melibatkan 121 buah keluarga.

Berdasarkan statistik, terdapat 350 penduduk beragama Islam manakala lebih 900 orang lagi beragama Kristian di Kampung Long Busang.

Menurut Yusuf, arwah bapanya yang telah meninggal dunia tujuh tahun lalu, bukanlah beragama Islam sejak dilahirkan. Zawawi mula memeluk Islam pada tahun 1973.

"Sayangnya, entah di mana silapnya, ada juga orang Islam yang murtad. Walaupun komuniti Islam di sini sedikit tetapi ia semakin bertambah melalui perkahwinan," kata Yusuf.

Rata-rata penduduk di Kampung Long Busang bekerja dalam bidang pertanian seperti mengusahakan tanaman padi bukit dan berkebun. Ada sesetengah mereka yang menangkap ikan dan berburu.

Meskipun tinggal di kawasan pedalaman, penduduk di sini mempunyai kemudahan sekolah kebangsaan dan klinik.

Terima jalur lebar

Ketika kunjungan rombongan Yayasan Ikhlas ke kampung itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melancarkan kemudahan jalur lebar untuk penduduk. Ia merupakan projek perintis Kerajaan Negeri Sarawak sebagai percubaan untuk menghubungkan kemudahan itu di kawasan pedalaman di Sarawak. Ia hanya melibatkan dua kawasan iaitu Long Busang dan Long San.

Selain itu, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan baharu masjid berkenaan. Ia akan diuruskan JAIS menerusi Pejabat Agama Islam Bahagian Kapit.

Sebelum berita gembira itu diterima, Yayasan Ikhlas berkesempatan membantu proses membaik pulih Masjid Darul-Rahmah di Kampung Long Busang yang dijangka siap sebelum bulan Ramadan. Menurut Yusuf, itu merupakan kali pertama masjid itu dibaik pulih sejak lebih tiga dekad.

"Masjid Darul-Rahmah dibina pada tahun 1986. Sebelum wujudnya masjid ini, kami ada surau tetapi bukan di tapak ini," ujar beliau yang berbangga apabila alatan beduk masih kekal tersimpan di rumah ALLAH itu.

"Beduk itu memainkan peranan penting ketika waktu berbuka puasa. Bila kedengaran ketukan beduk bertalu-talu, semua orang akan tahu bahawa sudah masuk waktu berbuka," katanya.

Sumbangan

Sementara itu, Kamaruddin berkata, kehadiran Yayasan Ikhlas di perkampungan itu dengan visi besar dalam menyemarakkan sinar Islam di sana.

"Kami hadir dengan membantu membaik pulih sistem pendawaian elektrik di masjid dan rumah tamu yang terletak bersebelahan.

"Kami juga mengecat masjid dan rumah tamu. Selain itu, Yayasan Ikhlas turut membaik pulih kotak kawalan elektrik daripada panel solar. Di sini, penduduk mendapat bekalan elektrik melalui janakuasa menggunakan diesel. Selain kami, terdapat beberapa badan lain yang terlibat dalam baik pulih masjid itu," katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan Bakul Kasih Ramadan kepada 85 keluarga di kampung itu baru-baru ini.

Selain di Belaga, kata Kamaruddin, pihaknya menyasarkan agihan sumbangan kepada 5,000 penerima di 14 kawasan di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Ini merupakan tahun keempat pihaknya melaksanakan program itu.

Pada masa akan datang, Yayasan Ikhlas katanya, merancang untuk membuka sebuah pusat dialisis di Kuching.