Seludup migran: Tiga anggota polis jadi dalang

Kamaluddin (dua dari kanan) menunjukkan pasport warga India yang menggunakan cop palsu oleh sindiket terbabit bersama-sama beberapa barang rampasan pada sidang media malam tadi. - Foto Noor Ainon Mohamed Yusof
A
A

IPOH - Jabatan Imigresen Perak berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan migran warga India yang dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak 10 tahun lalu.

Pengarahnya, Kamaluddin Ismail berkata, tiga suspek utama menjadi dalang kepada sindiket tersebut ditahan dalam satu operasi selama empat hari bermula 20 hingga 23 Mei lalu di Pengkalan Hulu, Perak dan Baling, Kedah.

Menurutnya, selain itu, tiga anggota polis berpangkat sarjan, konstabel sokongan dan konstabel turut ditahan kerana dipercayai bersubahat dengan sindiket tersebut,

"Keseluruhan tangkapan yang dibuat selamat empat hari itu seramai 51 orang terdiri daripada 44 lelaki warga India, seorang wanita warga India, dua lelaki warga tempatan, seorang wanita warga tempatan dan tiga anggota polis.

"Kita yakin dengan tangkapan ini, kita berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan manusia di sempadan Pengkalan Hulu-Betong," katanya dalam sidang media di Jabatan Imigresen Perak, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini, malam tadi.

Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Superintendan Datin Seri Halimaton Ahmad.

Kamaluddin berkata, pihaknya telah membuat risikan terhadap aktiviti suspek sejak Disember tahun lalu dengan beberapa tangkapan berskala kecil dibuat.

Kamaluddin memeriksa sebahagian warga India yang ditahan bersama suspek utama sindiket penyeludupan migran di sempadan Pengkalan Hulu-Betong, malam tadi. - Foto Noor Ainon Mohamed Yusof
Kamaluddin memeriksa sebahagian warga India yang ditahan bersama suspek utama sindiket penyeludupan migran di sempadan Pengkalan Hulu-Betong, malam tadi. - Foto Noor Ainon Mohamed Yusof

Katanya, berdasarkan siasatan awal, setiap migran akan membayar RM5,000 kepada suspek yang mengatur aktiviti penyeludupan ke Thailand untuk transit sebelum ke negara Eropah.

Beliau berkata, sementara itu, tiga anggota polis terlibat bertindak sebagai pengatur dan pembawa atau ejen pengangkut migran masuk ke sempadan.

Jelasnya, kesemua suspek direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut manakala warga asing yang ditahan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Langkap.

"Mereka akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, tanpa pas yang sah, menggunakan cop palsu, pelekat palsu, pas palsu.

"Anggota polis yang ditahan pula boleh didakwa di bawah 56 (1)(a) iaitu bersubahat dalam komplot jenayah yang kita boleh dakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 membantu dalam penyeludupan," katanya.

Dalam pada itu, Kamaluddin berkata, hasil tangkapan itu juga pihaknya turut merampas wang tunai 13,750, telefon bimbit, dua motosikal dan tiga kereta.

Katanya, operasi berkenaan turut melibatkan pihak polis dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

"Kita juga dapat kerjasama daripada Imigresen Thailand, IPK Perak, Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Hulu dan IPD Baling.

"Dijangka akan ada beberapa lagi tangkapan dibuat selepas ini berdasarkan siasatan lanjut ke atas suspek," katanya.

Sementara itu, Kamaluddin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan seperti itu supaya melaporkan kepada mana-mana pejabat Imigresen di negeri ini.