Johor giat dokumenkan laporan bencana Sungai Kim Kim

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengambil langkah proaktif dengan melakukan pemantauan secara berterusan terhadap petugas dan orang ramai yang terlibat dalam bencana pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, sejak 23 April lalu, tiada kes baharu dilaporkan dan pemantauan terus dilakukan di semua klinik kesihatan dan hospital untuk mengenalpasti kes jika krisis berulang.

Menurutnya, semua anggota terlibat dengan krisis telah dipanggil bagi mengenalpasti tindakan dijalankan dan satu laporan bertulis akan dikeluarkan untuk mendokumenkan 'lesson learned' sebagai rujukan di masa hadapan.

"Bagi pesakit, mereka yang telah dimasukkan ke ICU dan HDU diberi temu janji selepas discaj secara berkala oleh pakar untuk kenal pasti kesan jangka panjang. Pesakit yang berisiko tinggi seperti ibu hamil, bayi dan kanak-kanak yang terdedah dipantau secara rutin.

"Pelajar sekolah dibuat saringan kesan psikologi menggunakan CRIES8. Pesakit yang mengalami kesan psikologikal diberikan rawatan kaunseling," katanya kepada Sinar Harian dalam satu temu bual eksklusif di sini semalam.

Mohd Khuzzan berkata, lawatan ke rumah juga dijalankan oleh kumpulan sokongan kesihatan mental, klinik kesihatan bagi mengetahui keadaan semasa pelajar di rumah dan sokongan keluarga.

"Pemantauan kesihatan dilakukan ke atas petugas yang terdedah semasa menjalankan tugas ketika krisis. Mereka dipantau dan diambil ujian darah secara berkala semasa bulan pertama, ketiga dan keenam berikutnya," katanya.

Beliau berkata, bagi jangka masa panjang, pengawasan untuk murid sekolah yang terlibat dibuat dalam tempoh lima tahun di mana ia membolehkan Kementerian Kesihatan memantau dan mendokumenkan status kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Pengesanan awal kesan kesihatan selain pengurusan dan rawatan sesuai dihadapkan mencegah perkembangan selanjutnya dan komplikasi," katanya.

Selain itu, Mohd Khuzzan berkata, satu kajian dilakukan ke atas wanita hamil yang terdedah dengan bencana pencemaran Sungai Kim Kim bagi menentukan semua kesan sampingan.

"Semua agensi terlibat di peringkat pelaksana akan membuat 'after action review' (AAR) untuk persediaan yang lebih berkesan pada masa akan datang.

"Ini termasuklah menjalankan semakan teknikal meliputi tindakan kualitatif yang diambil dalam memberi tindak balas ketika kejadian. AAR ini mengenalpasti dan mendokumenkan amalan terbaik dan cabaran dihadapi ketika memberi tindak balas sewaktu bencana," katanya.

Terdahulu, insiden bencana Sungai Kim Kim mengakibatkan jumlah pesakit yang terlibat berjumlah 4,626 orang.

Daripada angka tersebut, jumlah pesakit dimasukkan ke dalam wad seramai 953 orang dan di tempat ke dalam ICU seramai 26 orang.