Banjir kilat: Empat keluarga bermalam di dewan

Sistem perparitan lemah menyebabkan banjir kilat berlaku di Batu 5 Kampung Sengat.
Sistem perparitan lemah menyebabkan banjir kilat berlaku di Batu 5 Kampung Sengat.
A
A
A

SIMPANG PULAI - Seramai 25 penduduk daripada empat keluarga di Batu 5 Kampung Sengat di sini dipindahkan selepas rumah masing-masing dinaiki air akibat hujan lebat sejak petang semalam.

Kesemua mereka dipindahkan ke Dewan Komuniti Taman Bersatu sekitar jam 11 malam tadi apabila air naik hampir 0.6 meter.

Penghulu Mukim Sungai Raya, Aszairol Nizam Ahmad Sayuly berkata, sehingga jam 5 petang tadi, keempat-empat keluarga berkenaan masih belum dibenarkan pulang berikutan keadaan air masih bertakung.

"Walaupun keadaan air sedikit surut, tetapi rumah mereka masih lagi digenangi air, jadi atas faktor keselamatan terutama bagi yang mempunyai anak kecil, kita minta mereka duduk sementara di dewan.

"Kerajaan Perak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan segala kelengkapan termasuklah juadah berbuka puasa untuk hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kerajaan negeri menerusi JKM menyediakan kelengkapan kepada mangsa banjir di Dewan Komuniti Taman Bersatu.
Kerajaan negeri menerusi JKM menyediakan kelengkapan kepada mangsa banjir di Dewan Komuniti Taman Bersatu.

Beliau berkata, keadaan sistem perparitan yang tidak lancar menyebabkan air tidak mengalir dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Hujan lebat antara jam 3 petang hingga 9 malam semalam menyebabkan limpahan air berlaku agak luar biasa di kawasan itu.

"Terdapat 18 rumah di kawasan ini, namun hanya empat yang ditenggelami air.

"Buat masa ini keadaan adalah terkawal dan kebetulan hari ini tiada hujan, jadi kemungkinan air surut lebih cepat," katanya.

Proses pemindahan mangsa semalam dilakukan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Kinta.