Tular video tembak monyet, polis tahan dua lelaki

Datuk Asmawati Ahmad - Foto Ihsan friendsofpdrm.blogspot.com
Datuk Asmawati Ahmad - Foto Ihsan friendsofpdrm.blogspot.com
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menahan seorang lelaki dan anaknya di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan, Perak, malam tadi.

Tangkapan itu dibuat berhubung kes tembak monyet yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung membuat serbuan di rumah berkenaan pada jam 9 malam.

“Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki iaitu anak beranak selain merampas pistol yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan.

“Kedua-dua tangkapan terbabit dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Video kes tembak monyet yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.
Video kes tembak monyet yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Terdahulu, Asmawati memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berhubung rakaman video yang tular di media sosial memaparkan tindakan kejam seorang lelaki tempatan menembak kepala monyet menggunakan pistol.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Rakaman video dengan durasi 20 saat itu tular di media sosial sejak dua hari lalu yang memaparkan tindakan seorang lelaki meminta haiwan yang dikurung di dalam sangkar itu untuk menyebut perkataan ‘baby sayang’ sambil mengacu pistol.

Lelaki berkenaan kemudian melepaskan satu das tembakan dan mengenai kepala haiwan berkenaan selepas kiraan tiga.

Difahamkan, suspek telah mengambil pistol bapanya yang tidur ketika itu.

Selepas ditembak, dia kemudian bertindak membuang bangkai monyet tersebut ke sungai.