Jokowi tidak beri ruang buat perosak negara

Presiden Jokowi berucap kepada media di Kompleks Istana Negara, Jakarta hari ini.- Foto AFP
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan beliau tidak akan memberi ruang buat pihak yang mahu merosakkan negara.

"Saya akan membuka pintu kerjasama kepada sesiapa sahaja demi membangun dan memajukan negara ini namun tiada ruang buat perusuh yang akan merosakkan negara," ujar Jokowi di Kompleks Istana Negara, Jakarta hari ini.

Jokowi turut menegaskan pasukan keamanan negara termasuk Anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Indonesia (Polri) akan bertindak mengikut undang-undang yang sewajarnya terhadap pihak yang membuat kekacauan.

Terdahulu, ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalanan sekitar bandar Jakarta bagi membantah keputusan rasmi Pemilihan Umum 2019 (Pemilu 2019) yang menyaksikan Jokowi berjaya mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua setelah menewaskan pencabar utama, Prabowo Subianto.

Setakat ini, enam orang dilaporkan maut manakala kira-kira 200 yang lain cedera ekoran rusuhan yang bermula malam semalam di hadapan Pejabat Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu).

Dalam perkembangan berkaitan, akses media sosial termasuk WhatsApp, Instagram dan Facebook dilaporkan disekat secara separa buat sementara di Jakarta bagi mengelak berita palsu disebar pasca rusuhan yang tercetus di ibu kota tersebut.

Perkara tersebut disahkan Menteri Koordinator Bidang Politik Hukum dan Keamanan, Wiranto menerusi sidang media di hari ini.

Sekatan itu disedari ramai pengguna media sosial bermula pada hari ini sekitar jam 10 pagi (waktu tempatan) dan terus berlangsung selama beberapa jam. Setakat jam 3 petang tadi beberapa jaringan komunikasi media sosial kembali seperti sedia kala. - Agensi