Rokok, minuman keras seludup bernilai lebih RM800,000 dirampas

No Image Caption
A
A
A

MIRI - Polis merampas pelbagai jenis rokok serta minuman keras yang dipercayai diseludup masuk ke sini bernilai RM844,181.09 termasuk cukai dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Padang Kerbau Pujut pada jam 8.30 malam semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, barangan seludup itu ditemui disimpan dalam tiga stor di belakang sebuah rumah, dengan 4,290 karton rokok pelbagai jenis serta 274 botol minuman keras ditemui di stor pertama, manakala 13,224 tin minuman keras ditemui dalam stor kedua, dan 1,080 tin minuman keras di stor ketiga.

"Ini adalah rampasan terbesar di Miri setakat ini dan barangan ini dipercayai diseludup masuk menerusi laut" katanya dalam sidang media di sini hari ini sambil menyatakan nilai barangan dirampas ialah RM164,061.44 manakala nilai cukai tidak dibayar ialah RM680,119.65.

Tan berkata seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang juga penjaga premis itu turut ditahan untuk membantu siasatan mengikut seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Rampasan serta suspek akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Miri untuk tindakan susulan," tambahnya.- Bernama

Artikel Berkaitan: