X

Kindly register in order to view this article
!

Hujan lebat ‘tangisi’ kemangkatan Sultan Ahmad Shah

Kawasan sekitar Istana Negara yang mula dibasahi hujan kira-kira jam 2 petang tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - Hujan lebat sekitar Kuala Lumpur sejak tengah hari tadi seolah-olah menangisi kemangkatan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah.

Cuaca sama turut melanda kawasan sekitar Istana Negara yang mula dibasahi hujan kira-kira jam 2 petang tadi, seakan-akan turut berdukacita dengan kemangkatan baginda.

Difahamkan, jenazah baginda akan dibawa ke Istana Negara sebelum diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang petang ini.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan selepas solat Zohor esok.

“Penghormatan terakhir bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula pada jam 11 pagi esok manakala orang ramai pula bermula malam ini hingga jam 11 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di pekarangan Istana Negara juga mendapati beberapa pengamal media mula merakamkan suasana di luar istana sebelum masing-masing beralih tempat selepas hujan lebat.

Setakat jam 3 petang, hujan dilihat semakin reda dan kumpulan media masih tidak berganjak kerana difahamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menziarahi jenazah Almarhum petang nanti.

Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada jam 8.50 pagi tadi.

Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media hari ini.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 89, merupakan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menyerahkan takhta kepada Al-Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan.

Baginda merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang, Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974, dua hari selepas kemangkatan ayahanda baginda selain pernah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada tahun 1956, 1959 dan 1965 kerana sultan berada di luar negara.

Baginda dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan pada 25 Mei 1944 sebelum dimasyhurkan buat kali kedua pada 29 Mei 1949.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!