'Banyak kenangan saya dengan Almarhum...'

No Image Caption
A
A
A

KHABAR dukacita pemergian Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah hari ini turut dirasai oleh penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Menyifatkan, Almarhum mudah didampingi dan disenangi ramai, Siti melahirkan rasa sedih dengan berita kemangkatan itu.

“Sebagai rakyat yang berpeluang membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku sejak di sekolah rendah, seterusnya menjadi artis adalah antara momen indah yang akan saya kenang.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Ahmad Shah raja disenangi rakyat

Sultan Ahmad Shah mangkat

“Banyak kenangan bermakna antara saya dan Almarhum yang akan saya ingat sampai bila-bila. Ketika saya membuat konsert di Royal Albert Hall, London, Almarhum Tuanku turut berkenan menyaksikannya," kata anak kelahiran Kuala Lipis itu menerusi Instagramnya hari ini.

Sebagai anak jati kelahiran Pahang, Siti menyifatkan Almarhum sebagai seorang yang kental dengan aura positif.

“Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas Almarhum dan digolongkan dalam kalangan solihin,” tulisnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, merupakan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menyerahkan takhta kepada Al-Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dan merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974, dua hari selepas kemangkatan ayahanda baginda, selain pernah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada tahun 1956, 1959 dan 1965 kerana sultan berada di luar negara.

Baginda dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan pada 25 Mei 1944 sebelum dimasyhurkan buat kali kedua pada 29 Mei 1949.