Najib, Hadi rakam ucapan takziah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin pembangkang hari ini merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Sultan Pahang kelima, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat agar mendoakan roh Almarhum dicucuri rahmat ALLAH, diampunkan segala dosa baginda dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.

"Marilah kita mendoakan roh Almarhum," titipnya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Sultan Ahmad Shah mangkat

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang dan rakyat di negeri itu.

"Merafak sembah takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, keluarga, ahli-ahli kerabat diraja dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah.

"Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah, " tulis Najib di Facebook beliau hari ini.

Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 89, merupakan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menyerahkan takhta kepada Al-Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dan merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974, dua hari selepas kemangkatan ayahanda baginda, selain pernah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada tahun 1956, 1959 dan 1965 kerana sultan berada di luar negara.

Baginda dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan pada 25 Mei 1944 sebelum dimasyhurkan buat kali kedua pada 29 Mei 1949.