Tinggalkan kerja sebagai pekebun, jadi pengedar dadah

Mazlan (tiga, kiri) menunjukkan antara paket dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Mazlan (tiga, kiri) menunjukkan antara paket dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sanggup meninggalkan pekerjaan lamanya sebagai pekebun kelapa sawit hanya kerana mahu hidup mewah dengan mengedar dadah.

Namun, semua itu tidak kekal lama apabila lelaki berusia 51 tahun tersebut diberkas polis di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Cheras, di sini, kira-kira jam 11.30 malam, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan bersama dengan rampasan dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 264 gram dan ketamin seberat 104 gram yang akan diedarkan di pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, susulan itu, hasil soal siasat dan dengan dipandu arah oleh suspek membawa serbuan ke kondominium yang dihuni suspek kira-kira jam 12.15 tengah malam.

"Pemeriksaan menjumpai dadah disyaki serbuk ekstasi (3.47 kg), ketamin (1.08 kg), pil eramin 5 (480 biji), pil ekstasi (112 biji) dan heroin (26 gram) yang dianggarkan bernilai RM456,720.

"Polis kemudian turut menyita barang seperti wang tunai, dua utas rantai, dua bentuk cincin, jam tangan jenama Rolex serta sebuah kenderaan jenis Range Rover yang mana kesemuanya dianggarkan berjumlah RM357,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, siasatan mendapati suspek aktif sejak enam bulan lalu dengan mengedar dadah di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, bagi mengaburi pihak berkuasa, dadah ini akan dicampur dengan serbuk minuman sebelum dibungkus dalam paket minuman tersebut dan akan dijual dengan harga RM300 sehingga RM400 sepaket.

Artikel Berkaitan:

"Malah, suspek ini juga dikesan menjadikan kondominium yang disewa dengan bayaran RM2,000 secara bulanan terbabit sebagai stor menyimpan dadah tersebut.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian suspek serta pusat hiburan yang terlibat,"katanya.

Tambahnya, suspek yang dikesan positif dadah ini kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebahagian paket minuman yang telah dicampur dengan dadah dirampas polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Sebahagian paket minuman yang telah dicampur dengan dadah dirampas polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.