Larian amal SK St Gabriel sasar penyertaan 2,000 peserta

Larian amal SK St Gabriel sasar penyertaan 2,000 peserta
Larian amal SK St Gabriel sasar penyertaan 2,000 peserta
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) St Gabriel bakal menganjurkan larian amal 18 Ogos depan bagi mengutip dana untuk memperbaiki dan menyelenggara kemudahan sekolah itu.

Bertema ‘Lets Save Our Field’, kutipan dana itu bagi memperbaiki dan menyelenggara padang permainan yang digunakan murid untuk sukan dan pendidikan jasmani.

Guru Besar SK St Gabriel, Anif Abd Ghani berkata, larian sejauh lima kilometer itu akan bermula pada jam 7 pagi di sekitar Kampung Pandan.

Menurutnya, penganjurannya antara lain untuk mewujudkan kesedaran masyarakat kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Ketika ini, kanak-kanak lebih banyak terdedah dengan gajet dan menghabiskan masa di rumah berbanding bermain di luar, mereka membesar di dunia yang semakin mengecil, tidak aktif dan maya serta semakin terputus dari dunia nyata di sekeliling.

“Justeru, tempat terbaik untuk kanak-kanak menikmati aktiviti luar, belajar tentang dunia semula jadi dan bersenam secara teratur adalah di sekolah, malangnya, keadaan padang sekolah kami amat menyedihkan dan tidak boleh digunakan untuk bersukan,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah memerlukan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan fasiliti padang sesuai untuk digunakan bagi menjalani kegiatan kokurikulum dan seumpamanya.

“Saya gesa orang ramai dan pihak korporat yang prihatin tampil untuk membantu merealisasikan impian ini... sebahagian kutipan yuran juga akan disalurkan ke dalam tabung pembinaan padang tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Program, Irwan Nasser Mohamad berkata, seramai 2,000 peserta dijangka akan mengambil bahagian dalam acara larian itu.

Katanya, pendaftaran dibuka sehingga 18 Julai ini dan boleh dibuat secara dalam talian di www.justonlineregistration.com atau menerusi talian 03-80749209 atau 0122683020.

“Yuran sebanyak RM65 dikenakan kepada setiap peserta, bagi mereka yang mendaftar sebelum 18 Jun layak menerima diskaun RM10.

“Pelajar berumur bawah 18 tahun hanya perlu membayar yuran sebanyak RM40 manakala bagi pendaftaran keluarga (terdiri daripada ibu, bapa dan dua orang anak berusia bawah 12 tahun) hanya perlu membayar sebanyak RM150.

“Semua peserta akan mendapat medal, baju T dan tiket masuk untuk cabutan bertuah,” katanya.