Penganggur belajar buat pil kuda melalui Internet

Noorzainy (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dari suspek.
Noorzainy (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dari suspek.
A
A
A

KEPALA BATAS - Hanya belajar melalui Internet, seorang lelaki mampu menghasilkan 200 biji sehari pil Yaba atau pil kuda untuk dijual kepada pelanggannya di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berkenaan menjadikan rumah milik bapanya di Flat Sri Pinang, Bagan Dalam sebagai makmal mini untuk memproses dadah berkenaan.

Menurutnya, suspek berusia 29 tahun dan tidak bekerja itu mencampur pelbagai jenis bahan sebelum memasukkan ke dalam acuan yang diubahsuai untuk dijadikan bentuk pil.

"Kegiatan suspek dikesan hasil maklumat yang diperolehi yang mana, satu serbuan ke atas rumah tersebut dilakukan pada jam 1 pagi, Ahad lalu. Hasil pemeriksaan, kita menemui suspek berada dalam salah sebuah bilik di rumah terbabit.

"Polis turut menemui 50 gram syabu, 45 biji pil ekstasi, 49 gram serbuk disyaki dadah dan 51 biji pil Yaba. Turut dirampas, tiga biji pil eramin 5 dan lima gram ganja. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM15,000," katanya pada sidang media tadi.

Noorzainy berkata, pihaknya juga menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan nilai anggaran RM27,000.

"Siasatan awal mendapati, suspek menjalankan kegiatan itu sejak enam bulan lalu. Suspek tinggal bersendirian dan bapanya tinggal di Kuala Lumpur. Bapanya tidak mengetahui kegiatan anaknya itu.

"Suspek yang belum berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan itu menjual dadah yang diproses kepada pelanggannya sekitar SPU dan SPT. Dengan menjual RM15 sebiji, suspek mampu meraih pendapatan RM3,000 sehari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dengan jumlah dadah yang dirampas, ia mampu membekalkan kepada 700 penagih.

"Ujian saringan air kencing suspek juga positif methamphetamine. Dia direman tujuh hari sehingga 25 Mei ini untuk siasatan lanjut.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama," katanya.