Najib cabar Kit Siang debat gaya bebas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk berdebat daya bebas dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Najib berkata, beliau bersedia untuk berdepan dengan Kit Siang pada bila-bila masa meskipun jadualnya kini padat dengan kes-kes di mahkamah.

"Kerajaan Pakatan Harapan tidak mahu saya terlalu lapang. Tetapi saya akan meluangkan masa untuk Kit Siang jika dia sedia berdebat.

"Ia boleh jadi perdebatan gaya bebas untuk bercakap. Dia boleh bertanya apa-apa pada saya, termasuk 1MDB. Dan saya boleh bertanya apa-apa padanya. Dalam semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu temubual yang dipetik daripada portal berita Free Malaysia Today (FMT) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau yakin Kit Siang boleh meluangkan masa untuk berdebat kerana Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet.

"Sekiranya dia cukup lapang untuk menulis pelbagai kenyataan setiap hari, dia sepatutnya lapang untuk berdebat," ujarnya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, disebabkan Kit Siang terlalu obses dengan dirinya sehingga beliau menggelarkan pemimpin DAP itu sebagai Menteri Hal Ehwal Najib (Menhen).

Artikel Berkaitan:

“Saya dah jawab tiap kali Kit Siang membuat kenyataan, sehingga ada dalam 'posting' saya, saya bagi dia gelaran ‘Menteri Hal Ehwal Najib’. Jadi, saya fikir lebih elok kita ada debat dengan Kit Siang.”

Dalam serangan terbarunya terhadap Najib, bekas ahli politik veteran DAP itu mendakwa frasa Najib yang popular dengan “Malu Apa Bossku” telah melanggar Rukunegara kerana cuba menghalang reformasi yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Najib menjelaskan frasa itu sebenarnya bukan kempen seperti yang sering digambarkan tetapi ayat itu dicipta oleh golongan belia.

“Mereka sendiri yang buat ayat, mereka sendiri design t-shirt, mereka sendiri buat grafik. Jadi ini suatu yang terbit dari hati nurani orang muda sendiri.

“Kalau orang muda rasa sampai masa mereka tidak suka, jadi tak ada lagi, tapi setakat ini Alhamdulilah sambutan ‘Bossku’ ini boleh dikatakan di luar jangkaan sama sekali.

“Tapi saya selalu tekankan apabila orang sebut ‘Bossku’, bukan saya bos tapi rakyat. Rakyat adalah bos.” katanya.