Kedudukan Ketua Pengarah YAPEIM diketahui sehari dua lagi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (dua, kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pendidikan Negeri Johor Tuan Azman Adnan pada Program Inspirasi Ramadan YAPIEM peringkat negeri Johor di Masjid Jamek Haji Ahmad Shah Kampung Rimba Terjun, Pontian hari ini. - FOTO BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (dua, kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pendidikan Negeri Johor Tuan Azman Adnan pada Program Inspirasi Ramadan YAPIEM peringkat negeri Johor di Masjid Jamek Haji Ahmad Shah Kampung Rimba Terjun, Pontian hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

PONTIAN - Keputusan mengenai kedudukan Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Datuk Abibullah Samsudin, hanya akan diketahui dalam masa sehari dua ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Prof Dr Abdul Ghafar Ismail berkata, satu siaran media akan dikeluarkan atau sidang media mungkin akan diadakan oleh Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu bagi memperjelaskan isu yang melibatkan pegawai kanan yayasan itu.

“Tunggu sehari dua ini. Insya-ALLAH... saya tidak boleh menyatakan sehingga siaran media dilakukan atau mungkin lembaga pengarah akan memanggil media sekali lagi untuk menjelaskan keadaan ini,” kata beliau selepas Program Inspirasi Ramadan YAPEIM peringkat negeri Johor di Masjid Jamek Haji Ahmad Shah, Kampung Rimba Terjun, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kedudukan Abibullah, sama ada masih bertugas atau tidak.

Dua hari lepas, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dilaporkan membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki yang didakwa kononnya Abibullah, mempengaruhi kakitangan YAPEIM pada pilihan raya umum lepas.

Ketika ditanya sama ada pihak Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM telah menetapkan tindakan tatatertib ke atas Abibullah, beliau menjelaskan beberapa tindakan telah diambil tetapi bukan tatatertib termasuk pembentukan satu jawatankuasa khas audit dalaman sejak November lepas, bagi menangani isu berkenaan, berdasarkan laporan dari PricewaterhouseCoopers (PWC).

"Kita ahli lembaga pengarah sedia maklum bahawa kakitangan YAPIEM adalah berjawatan tetap jadi segala tindakan haruslah melalui saluran tertentu, proses tertentu termasuk garis panduan yang diikuti.

Dan garis panduan yang diikuti ini harus telus dan jelas supaya kita tidak membuat satu keputusan yang boleh menyebabkan seorang individu itu teraniaya atau mungkin akan disabitkan kesalahan tanpa ada apa-apa bukti," kata Abdul Ghafar.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.- Bernama