Kanak-kanak perempuan cedera ditikam lelaki mabuk

Ahmad Dzaffir
Ahmad Dzaffir
A
A
A

KAJANG – Seorang kanak-kanak perempuan cedera ditikam seorang lelaki dipercayai mabuk di sebuah rumah di Bandar Sungai Long, di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 10 tahun telah ditikam di bahagian dada dan perut ketika sedang tidur.

Ketua Polis Kajang, Assisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kajang.

“Saksi melihat suspek sebelum kejadian yang didakwa dalam keadaan mabuk. Rakaman kamera litar tertutup turut mendapati sebelum kejadian suspek kelihatan berkeliaran di kawasan kaki lima kedai berhampiran tempat kejadian,” katanya melalui kenyataan media, malam tadi.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek berjaya masuk ke rumah mangsa yang terletak di tingkat tiga, apabila pintu utama rumah mangsa tidak berkunci.

“Suspek kemudian masuk ke bilik mangsa dan telah menikam mangsa, sebelum melarikan diri. Ketika kejadian ayah mangsa sedang tidur di biliknya.

“Ayah mangsa berumur 48 tahun itu menyedari kejadian tersebut setelah mendengar jeritan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek telah melarikan diri, namun meninggalkan motorsikal miliknya di hadapan sebuah kedai berhampiran tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan di tempat kejadian telah merampas pisau yang digunakan oleh suspek serta botol arak dipercayai milik suspek,” katanya.

Menurutnya, hasil risikan, polis berjaya menangkap suspek pada jam 3.30 pagi semalam.

"Suspek berusia 40 tahun itu direman selama enam hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kanak-Kanak.