Cubaan seludup haiwan ternakan RM1.1 juta gagal

Ramly (kiri) bersama Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya melihat ternakan yang dirampas di salah sebuah kandang di Kampung Kubang Pak Itam.
Ramly (kiri) bersama Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya melihat ternakan yang dirampas di salah sebuah kandang di Kampung Kubang Pak Itam.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu mematahkan cubaan menyeludup lembu, kambing dan biri-biri berjumlah RM1.1 juta dalam tiga serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Tumpat.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Ramly Pancho berkata, rampasan selama tiga hari yang bermula Jumaat hingga semalam adalah hasil maklumat unit risikan.

"Hasil siasatan awal yang dilakukan kita dapati, ternakan ini diseludup masuk ke Kelantan melalui laluan tikus yang terdapat di sepanjang Sungai Golok untuk dijadikan bekalan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Menurutnya, dalam serbuan pertama Jumaat lalu pada jam 4.34 pagi, PGA berjaya merampas 37 ekor lembu di kawasan Tok Uban dalam sebuah lori.

Katanya, serbuan kedua di Kampung Pulai, Pengkalan Kubor, Tumpat sebanyak 123 ekor lembut berjaya dirampas pada jam 5.08 petang, Sabtu lalu.

"Semalam, PGA Batalion 9 Kuala Terengganu sekali lagi berjaya merampas 74 ekor lembu, 46 ekor kambing jenis Boer dan 38 ekor biri-biri di Kampung Kubang Pak Itam (Meranti).

"Rampasan di Kampung Pulai (Pengakalan Kubor, Tumpat) dan Kubang Pak Itam dilakukan di kawasan kandang milik penduduk tempatan selepas dibawa masuk ke negeri ini dari negara jiran" katanya.

Ramly berkata, kesemua ternakan itu akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan: