Pukat tunda haram: Nelayan Muar diugut selepas beri maklumat

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

MUAR - Nelayan di kawasan Muar diminta menyalurkan maklumat serta bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang dakwaan mereka diugut dan sengaja ditahan pihak berkuasa laut setelah mengemukakan bukti mengenai pencerobohan bot pukat tunda haram.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya memandang serius hal itu dan akan membawa perkara tersebut ke muka pengadilan berikutan masalah pencerobohan pukat tunda haram tetap berlaku meskipun aduan dilakukan.

"Saya sudah maklumkan kepada nelayan yang terlibat untuk mengambil nama pegawai yang terlibat selain akan membawa perkara ini kepada SPRM juga pihak berkuasa yang berkaitan.

"Ini adalah tindakan pengecut dan ia (pencerobohan) telah lama berleluasa, bukti seperti nombor pendaftaran juga diberikan dan mereka boleh mengesan menerusi Sistem Pengesanan Automatik (AIS) sekiranya mahu melakukan penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Dialog Bersama Nelayan dan Agensi Kerajaan di Parit Kasim yang turut dihadiri Ketua Pejabat Perikanan Daerah Muar, Mohd Faris Adman dan Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Muar, Asisten Superintenda Nordin Osman di sini hari ini.

Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata, masalah pencerobohan bot pukat tunda selain isu membelenggu nelayan seperti kecurian bot yang berlarutan di kawasan itu sejak sekian lama akan diatasi dengan tindakan penguatkuasaan tegas dan lebih menyeluruh.

Menurutnya, isu itu juga akan dibawa ke peringkat atasan untuk perhatian Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Pertahanan.

"Kita juga akan mencadangkan MOA mewajib penggunaan sistem AIS kepada semua pukat tunda kelas B bagi memudahkan pemantauan sepanjang nelayan berada di perairan negara untuk aktiviti perikanan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pada 4 Mei lalu, Syed Saddiq melakukan lawatan mengejut di Parit Jawa di sini bagi menyelami masalah dan isu yang dihadapi nelayan di kawasan berkenaan.

Pihaknya dimaklumkan pukat tunda haram menceroboh sehingga kawasan Tanjung Tohor dan ia boleh memusnahkan tempat perlindungan, pembiakan ikan selain membinasakan jaring dan bubu nelayan pada bila-bila masa.

Pencerobohan itu berlaku sehingga kawasan berhampiran Bagan dari 3 hingga 5 batu nautika dari pantai antara jam 6 pagi dan 6 petang sekali gus perkara itu menjejaskan mata pencarian lebih 1,000 keluarga nelayan. - Bernama