Hasrat Siti Nurhaliza bawa Aafiyah tunai umrah jadi kenyataan

FOTO: Siti Nurhaliza Production
A
A

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi rasa teruja apabila hasrat untuk menunaikan umrah bersama cahaya matanya, Siti Aafiyah bakal menjadi kenyataan pada 23 Mei ini.

Selain Aafiyah, Siti, 40, juga akan ditemani suami, Datuk Seri Khalid Jiwa dan beberapa ahli keluarga yang lain selama 10 hari berada di Tanah Suci nanti.

Menurut pelantun Anta Permana ini, dia bersyukur apabila doanya untuk membawa anak bersama-sama mengerjakan umrah dimakbulkan Allah.

“Ini adalah doa saya sebelum saya mengandung lagi. Setiap kali pergi umrah, memang apa yang selalu saya doakan ialah semoga Allah kurniakan cahaya mata dan insya-ALLAH saya akan bawa cahaya mata untuk menunaikan umrah sekali.

“Jadi tetamu di Tanah Suci ni semuanya atas keizinan-NYA. Alhamdulillah memang saya bersyukur sangat Allah jawab doa saya dalam tempoh yang tidak lama.

“Selepas Aafiyah setahun lebih, saya terus dapat rezeki untuk pergi umrah pada hujung Ramadan ini,” luahnya penuh syukur.

Dalam pada itu, Siti yang ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa Datuk Seri Siti Nurhaliza & Sitizoner dan Penyampaian Anugerah Universal Music Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Sabtu, mengakui sudah membuat persiapan secukupnya sebelum ke sana.

“Dalam setiap doa, saya minta agar ALLAH perrmudahkan urusan kami sepanjang 10 hari berada di sana. Bimbang juga kerana Aafiyah masih baby lagi, takut dia meragam atau tak sihat ketika di sana. Apa pun saya berserah sahaja kepada ALLAH.

“Tidak semua aktiviti yang akan saya bawa Aafiyah, tetapi tengok kepada keadaan dan masa yang bersesuaian. Saya kena utamakan kesihatan dan keselesaan dia juga.

“Pada masa yang sama, saya juga cuba membiasakan Aafiyah dengan aktiviti yang kami lakukan seperti menunaikan solat, supaya dia tahu apa yang kami buat,” katanya kepada Sinar Harian.