Senator Fraser Anning gagal pertahan kerusi

Fraser Anning
Fraser Anning
A
A
A

CANBERRA - Senator Australia, Fraser Anning yang bermulut celupar menuduh imigran Islam yang menyebabkan serangan tembakan ganas di Christchuch pada 15 Mac lalu telah hilang kerusi di Senat.

The Sydney Morning Herald melaporkan, Anning memperoleh undi yang banyak dalam Pilihan Raya Umum kali ini yang berlangsung semalam, namun gagal untuk mengekalkan kerusinya di Queensland.

Ahli politik berhaluan kanan berusia 69 tahun yang menubuhkan Parti Konservatif Nasional itu secara biadab menyalahkan dasar New Zealand kerana membenarkan penghijrahan 'fanatik Islam' ke negara tersebut tidak lama selepas pengganas kulit putih melancarkan serangan berdarah ke atas dua masjid di Christchurch yang meragut 51 nyawa.

Kenyataan Anning bagaimanapun dikecam masyarakat antarabangsa dan dia turut dibaling telur oleh Will Connolly yang mendapat jolokan Egg Boy dalam satu sidang media.

Pada 2018, ahli politik kontroversi itu pernah menggesa larangan kemasukan imigran dari negara Islam ke Australia dan mengaitkannya dengan istilah 'penyelesaian akhir' yang dikaitkan dengan pembunuhan sistematik oleh Nazi ke atas populasi Yahudi di Jerman. - Agensi

Artikel Berkaitan: