Keikhlasan memperjuangkan hak pengguna dikagumi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas-bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggambarkan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris sebagai seorang yang ikhlas memperjuangkan hak-hak pengguna di negara ini.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri, Allahyarham sangat komited dan bersemangat dalam menggalas tanggungjawabnya dala isu-isu kepenggunaan.

"Bagi saya, Allahyarham adalah seorang pejuang hak pengguna yang sangat komited dan bersemangat kental di dalam memperjuang dan melindungi hak pengguna.

"Saya kenal benar dengan Allahyarham di mana kami sering bersama-sama terlibat dalam program dan isu-isu berkaitan kepenggunaan. Allahyarham seorang sahabat yang sangat ikhlas dan tegas dalam perjuangannya," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, Ismail mengakui pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang besar buat negara khususnya kepada para pengguna.

"Amat sukar untuk mencari pengganti yang boleh mengorbankan seluruh kehidupannya untuk warga pengguna. Saya turut bersedih dgn pemergian Allahyarham.

"Saya mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang-orang yang beriman serta beramal soleh," katanya.

Turut memiliki pandangan yang sama, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sifat Allahyarham yang bercakap dengan berfakta menjadikan dirinya sentiasa dikagumi.

Artikel Berkaitan:

"Sewaktu bertugas di kementerian, kami memang sering bekerjasama dan boleh dikatakan sangat rapat.

"Sepanjang mengenali Allahyarham, beliau seorang yang cukup suka merendah diri tapi pada masa sama, suka berterus terang dalam satu-satu isu sehingga adakalanya boleh membuat kita terasa hati.

"Tapi situasi itu hanya setakat itu kerana setiap apa yang dikatakan adalah berfakta dan itu yang membuat saya kagum dengannya," katanya.

Pada masa sama, Hasan mengharapkan agar perjuangan Allahyarham memperjuangkan hak pengguna dapat diteruskan pihak sekelilingnya.

"Allahyarham seorang yang ikhlas dan tidak pernah takut dengan mana-mana pihak semata-mata untuk menegakkan kebenaran.

"Saya amat berharap, pegawai-pegawai yang sentiasa berada di sekelilingnya dapat mewarisi kesungguhan Allahyarham dalam melindungi hak pengguna di negara ini," katanya.