Perak tidak tertekan dengan desakan tanah adat

Ahmad Faizal ketika tiba di Pejabat Urusan Persatuan Penganut Agama Buddha Temoh sempena sambutan Hari Wesak hari ini.
A
A

TAPAH - Kerajaan Perak tidak tertekan dengan sebarang desakan dibuat segelintir pihak dalam menyelesaikan isu tuntutan tanah masyarakat Orang Asli di Kampung Tasik Cunex di Gerik membabitkan kawasan seluas 12,465 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana terdapat kajian sedang dibuat oleh Pejabat Peguam Negara mengenai perkara itu.

"Selagi tiada apa-apa perkembangan, kita tidak akan lakukan apa-apa.

"Selaku pemimpin kerajaan negeri, saya menyatakan tidak tertekan dengan desakan mana-mana pihak," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan mampu untuk melakukan pewartaan sekiranya setiap perkampungan masyarakat Orang Asli di negeri ini mendesak agar kawasan rayau mereka diiktiraf sebagai tanah adat.

"Kita ada 256 kampung orang asli di seluruh negeri, jika setiap daripada kampung itu buat desakan sama, saya kira keluasannya sudah menyamai keseluruhan Perak," katanya.

Mengulas mengenai tindakan undang-undang yang mungkin diambil terhadap pembukaan penempatan kampung itu yang dilakukan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan negeri, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan bertindak tegas sekiranya desakan diteruskan dengan membelakangi undang-undang.

Katanya, sebagai kerajaan mereka perlu bertindak adil kepada semua rakyat tanpa mengira siapa dengan melaksanakan peruntukan undang-undang terhadap mereka yang bertindak sewenang-wenangnya.

"Negara kita bukan negara koboi, ada undang-undang.

"Bagi mereka yang secara besar-besaran menentang kerajaan walaupun mereka telah meneroka secara haram.. yang itu kita tentang dan perlu ambil tindakan tegas bersama agensi-agensi lain," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal ditemui pada program sambutan Hari Wesak bersama Persatuan Penganut Agama Buddha Temoh.

Dalam majlis itu, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi kegunaan aktiviti persatuan.

Persatuan yang ditubuhkan sejak 25 tahun itu aktif menjalankan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma di sebuah bangunan yang diubah suai sebagai pusat pemeriksaan di Temoh.