Mat Nadzari pangku jawatan Pengerusi Umno Selangor

Ismail Sabri (kiri) dan Mat Nadzari Ahmad.
Ismail Sabri (kiri) dan Mat Nadzari Ahmad.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan memangku jawatan yang ditinggalkan Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob buat tempoh sementara sehingga calon baharu dilantik.

Ismail berkata, menerusi mesyuarat khas yang berlangsung pada 5 April lalu, beliau menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan itu berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.

Menurutnya, beliau sebelum ini dilantik memegang jawatan itu hanya untuk tempoh sementara dan bertujuan untuk membantu menyelesaikan beberapa permasalahan melibatkan Umno Selangor.

"Saya merasakan Umno Selangor sudah mampu dikemudi pimpinan di peringkat negeri yang mempunyai kemampuan untuk meneruskan kebangkitan parti ini.

"Disebabkan itu saya memanggil mesyuarat khas yang turut dihadiri ketua bahagian dan ketua sayap parti peringkat negeri bagi menyatakan hasrat tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai senarai tiga nama calon dihantar Umno Selangor bagi menggantikan Ismail sebagai pimpinan parti itu di peringkat negeri.

Antara nama yang dipetik itu adalah Mat Nadzari serta dua ketua bahagian iaitu Datuk Johan Abdul Aziz dan Megat Zulkarnain Omardin.

Dalam pada itu, Ismail berkata, buat masa ini, seramai empat orang ketua bahagian menyuarakan minat untuk memegang jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Senarai nama calon yang berminat itu biarlah rahsia dahulu kerana saya belum berbincang dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan. Keputusan akan dibuat selepas perbincangan bersama beliau," katanya.

"Nama pengganti saya berkemungkinan akan diumumkan selepas Aidilfitri nanti," katanya.