Mayat bayi perempuan ditinggalkan depan madrasah

Gambar tular di media sosial mengenai penemuan mayat bayi perempuan masih bertali pusat di depan madrasah Kampung Padang Kota, Sering pagi tadi.
Gambar tular di media sosial mengenai penemuan mayat bayi perempuan masih bertali pusat di depan madrasah Kampung Padang Kota, Sering pagi tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditinggalkan di depan Madrasah Haji Sulaiman, Kampung Padang Kota, Sering, di sini pagi tadi.

Mayat bayi cukup sifat yang kelihatan kebiru-biruan itu dipercayai baru dilahirkan ditemui jemaah madrasah jam 7.20 pagi selepas mereka solat Subuh.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebaik ditemui, orang ramai yang berada di situ segera menghubungi pihak polis.

Katanya, mayat bayi itu dibalut dengan sehelai kain batik dan diletakkan di atas bangku di depan madrasah berkenaan.

“Sebelum solat Subuh jam 6 pagi jemaah sudah lihat ada bungkusan kain batik di atas bangku depan surau namun mereka solat Subuh terlebih dahulu.

“Selesai solat salah seorang jemaah cuba melihat dan memeriksa dalam kain batik itu dan melihat mayat bayi perempuan yang sudah berbau.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan. Polis juga sedang mencari ibu bayi itu untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Beliau berkata, mayat berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.