JDT makin kukuh di persada Liga Super

Pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Diogo Luis Santo (tengah) dan Adam Nor Azlin (kanan) cuba mengawal bola dari pemain pasukan PKNS FC Surendran Ravindran (kiri) pada perlawanan Liga Super 2019 antara pasukan PKNS FC bertemu pasukan JDT di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Bernama
A
A

TIADA satu pasukan setakat ini mampu mencalarkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas skuad 'Harimau Selatan’ itu terus melebarkan penguasaan di persada Liga Super dengan kemenangan 2-1 menundukkan PKNS FC, malam tadi.

Kejayaan meraih kemenangan ke-11 daripada 14 aksi itu membolehkan skuad bimbingan ketua jurulatih Benjamin Mora mengumpul 36 mata untuk berdiri megah menerajui takhta liga dengan kelebihan 11 mata, meninggalkan pencabar terdekat Pahang di kedudukan kedua.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, jaringan pemain import dari Brazil, Diogo Luis Santo pada minit ke-60 menghadiahkan tiga mata penuh buat JDT selepas gol Romel Morales pada minit ke-30 menafikan jaringan pembukaan penyerang muda kebangsaan Muhammad Safawi Rasid seawal minit ketujuh.

Pada masa sama, pendatang baharu PJ City FC meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Bekas penyerang prolifik kebangsaan, Mohd Safee Sali yang dimasukkan pada separuh masa kedua muncul wira skuad 'The Phoenix’ menerusi gol cantik menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohamad Faridzuean Kamaruddin pada minit ke-90.

Dalam aksi Liga Premier pula menyaksikan Terengganu FC II (TFC II) bangkit daripada kekalahan minggu lalu selepas berjaya menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Gol tunggal perlawanan dijaringkan ketua pasukan, S.Subramaniam pada minit ke-43 sekali gus menamatkan rekod cemerlang tanpa kalah PDRM dalam empat perlawanan terdahulu.

Dalam pada itu, Sabah naik ke kedudukan kedua Liga Premier selepas jaringan tunggal bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga pada minit ke-49 memastikan skuad kendalian Henry Saimpon menundukkan UKM FC 1-0. Terdahulu, perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu terpaksa ditangguhkan seketika disebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan Bandar Tun Razak menurut entri Twitter Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). - Bernama