Duit simpanan RM280,000 wanita warga emas lebur

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita warga emas sanggup mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM280,000 gara-gara tertarik dengan keuntungan berganda daripada wang pertubuhan yang ditawarkan dua individu tidak dikenali, semalam.

Keterujaan mangsa berusia 73 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai untuk menikmati untung besar tidak kesampaian sebaliknya terpaksa berputih mata apabila wang tunai diserahkan bagi tujuan itu lesap dilarikan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa termasuk jerat penipuan itu selepas didatangi seorang lelaki dan wanita ketika berada di pasar Jalan Air Putih di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki tersebut memaklumkan mangsa memenangi wang angpau dari sebuah syarikat minyak dan dibawa ke sebuah stesen minyak di Jalan Beserah untuk menerima hadiah.

"Mangsa diberikan kad mata ganjaran syarikat minyak baru dan wang tunai RM200 sebelum ditawarkan 'pelaburan' wang persatuan (wang kutip elak cukai) dengan pulangan dua kali ganda nilai yang dilaburkan," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa tertarik dengan tawaran itu lalu mengeluarkan wang dalam akaun banknya untuk diserahkan kepada suspek.

"Selepas wang dikeluarkan, mangsa dibawa ke tapak pakir sebuah pusat beli-belah di sini.

"Suspek kemudian masuk ke dalam pusat beli-belah konon untuk mengira wang tersebut manakala mangsa ditinggalkan dalam kenderaan dengan ditemani seorang lelaki," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tidak lama kemudian, lelaki yang ada dengan mangsa turut beredar dan kedua-dua suspek itu terus menghilangkan diri bersama wang yang diserahkan.

"Mangsa syak dia ditipu lalu membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan diteruskan bagi mengesan tiga suspek terlibat termasuk melalui rakaman CCTV," katanya.