Tiada bonus untuk peneroka Kesedar Aidilfitri tahun ini

Sazmi ketika sidang akhbar malam tadi.
Sazmi ketika sidang akhbar malam tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada sebarang bonus untuk peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sempena Aidilfitri tahun ini.

Pengerusi Kesedar, Datuk Sazmi Miah berkata, memandangkan keadaan ekonomi semasa, pihaknya tidak bercadang untuk memberikan bonus Aidilfitri tahun ini.

“Dalam keadaan ekonomi semasa dan harga sawit yang tidak stabil, kita tak fikir boleh bagi bonus kepada peneroka.

“Tambahan pula bonus ini tidak semestinya diberikan pada hari raya sahaja, sebab pada akhir tahun atau awal tahun pun boleh beri bonus,” katanya pada sidang akhbar ketika program Berbuka Puasa Kesedar Bersama Media di Hotel Perdana malam tadi.

Katanya, ada kemungkinan, Kesedar akan memberikan manfaat lain untuk membantu 2,200 peneroka di sembilan kawasannya.

Dalam masa sama, Kesedar merancang untuk mengusahakan projek perintis tanaman kelapa seluas 1,200 hektar yang akan diuruskan sendiri oleh agensi itu.

Katanya, setiap tahun negara memperuntuk RM180 juta untuk membeli kelapa dari Filipina dan Indonesia.

Jelasnya, projek tanaman kelapa itu nanti dijangka akan mengatasi import, di samping boleh mendapatkan produk sampingan seperti minyak masak dan nira kelapa.

Artikel Berkaitan:

“Kita perhatikan pengusaha kelapa di bawah dua atau tiga hektar boleh menjana pendapatan lumayan berbanding sawit.

“Bulan Ramadan ini ada pengeluar nira kelapa mengaut puluhan ribu dan jangka hayat kelapa juga panjang seperti sawit sehingga 30 tahun. Jadi kita rasa tanaman kelapa ini boleh dikomersialkan,” katanya.

Sazmi berkata, projek perintis itu tidak melibatkan peneroka untuk memudahkan urusan dan bukan membebankan peneroka untuk menguruskan sektor pertanian.

“Kita tidak mahu libatkan peneroka dengan tugasan dan urusan pertanian, sebaliknya kita mahu berikan mereka pekerjaan agar dapat pendapatan tetap, elaun dan sebagainya,” katanya.