Pemandu lori muatan itik parah langgar belakang treler

Keadaan treler yang dirempuh dari belakang lori dipandu mangsa selepas kejadian itu.
Keadaan treler yang dirempuh dari belakang lori dipandu mangsa selepas kejadian itu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki berusia 35 tahun cedera parah di bahagian kepala selepas lori dipandunya merempuh sebuah treler di KM 6 Arah Selatan Lebuhraya Link Kedua, di sini, kira-kira jam 5.27 pagi.

Kelindan lori itu yang berusia 43 tahun hanya cedera ringan akibat terperosok di tempat duduk belakang lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori muatan itik dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah treler yang bergerak dari arah sama.

Menurutnya, ketika kejadian lori berkenaan dipercayai datang dari arah Johor Bahru mahu memasuki negara jiran, Singapura.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori telah tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tidak sedarkan diri.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah sebaik dikeluarkan oleh pihak bomba dari kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, pemandu dan kelindan lori treler yang dirempuh mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, lokasi kejadian adalah kawasan lebuh raya yang mempunyai tiga lorong sehala dengan permukaan jalan rata dan bertar.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, keadaan pencahayaan ketika itu agak gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.