Zakat Selangor perkenal bayar zakat fitrah ikut jenis beras

Carta pembayaran zakat fitrah di Selangor.
Carta pembayaran zakat fitrah di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) memperkenalkan pilihan bayaran zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan pada dua kadar yang berlainan iaitu RM14 dan RM21.

Bagaimanapun kadar RM7 dikekalkan seperti tahun lalu untuk umat Islam di Selangor membayarnya.

Zakat Selangor berkata, kadar zakat fitrah sebanyak RM14 seorang bagi beras yang bernilai RM13 hingga RM44 (untuk harga beras seberat 5kg) dan RM21 seorang bagi beras yang bernilai melebihi RM44 (untuk harga beras seberat 5kg).

”Kadar ini adalah bagi golongan yang berkemampuan sahaja yang mana mereka boleh memilih menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan bagi diri dan tanggungan,” katanya.

Katanya, kadar bayaran zakat fitrah melebihi RM7 ini adalah sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat di Selangor.

”Penentuan kadar zakat fitrah ini adalah berdasarkan kepada harga semasa bagi beras Super Tempatan Gred A seberat satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.60kg,” katanya lagi.

Dalam pada itu, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, Zakat Selangor telah melantik seramai 2,754 penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini.

”Orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 buah cawangan Zakat Selangor di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

”Ia juga boleh ditunaikan melalui 14 Penolong Amil institut pengajian tinggi (IPTA) dan 15 penolong amil institut pendidikan Islam swasta (IPIS) di seluruh Selangor,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Zakat Selangor akan membuka 27 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini.

Ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.

Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan Zakat Selangor akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang.