Pandangan terhadap Malaysia semakin positif

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Usai setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), pandangan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia dalam aspek integriti dan antirasuah dilihat meningkat berbanding sebelumnya.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, kerajaan perlu melakukan reformasi dalam pentadbiran dan agensi penguatkuasaan.

“Kita lihat sejak akhir-akhir ini juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia nampak begitu aktif sekali. Banyak tindakan mereka ambil dan tidak memilih. Semua pihak kena seperti kes terowong di Pulau Pinang dan kes-kes lain.

“Maknanya kita nampak ada usaha reformasi jentera kerajaan dan penguatkuasaan ini memang berlaku cuma mungkin perlu dikuatkan lagi selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu Malaysia dikenali sebagai sebuah negara berintegriti dan anti rasuah di persada antarabangsa.

Semalam, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional.

Bercakap pada majlis iftar bersama rakyat Malaysia di Switzerland sempena lawatan kerja tiga hari ke negara itu bermula Selasa lepas, Ahli Parlimen Pandan itu turut memaklumkan kerajaan juga telah melancarkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 pada 28 Januari tahun ini.

Artikel Berkaitan: