'Makamnya tinggi daripada kubur biasa'

Makam yang dipercayai menempatkan jenazah kanak-kanak lelaki berkenaan.
Makam yang dipercayai menempatkan jenazah kanak-kanak lelaki berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebut sahaja perkuburan di tengah Bandaraya Johor Bahru, masyarakat pastinya sudah terbayang Kampung Mahmoodiah yang mana sekian lama menempatkan puluhan ribu pusara umat Islam di negeri ini.

Bahkan, penempatan yang mula diteroka sejak 1950an itu juga turut menempatkan Makam Diraja Johor di mana kesemua keturunan Sultan Johor bermula era Sultan Abu Bakar disemadikan.

Menyingkap serba sedikit mengenai asal usul kawasan berkenaan, difahamkan selain Mahmoodiah, kawasan itu juga dikenali dengan beberapa nama lain oleh kalangan orang tempatan.

Papan tanda memasuki Kampung Mahmoodiah.
Papan tanda memasuki Kampung Mahmoodiah.

Penghulu Kampung Tarom, Daud Ismail, 67, berkata, berdasarkan cerita disampaikan keturunan sebelumnya, nama Mahmoodiah itu pada awalnya berasal daripada jenazah seorang kanak-kanak lelaki yang disemadikan di sana.

"Saya tidak pasti tahun bila, tetapi memang paling awal dahulu sebelum kawasan ini dibuka jadi perkuburan umat Islam di kawasan ini.

"Kalau tidak silap saya, kubur kanak-kanak itu juga masih ada di perkuburan itu yang mana keadaan makamnya tinggi sedikit berbanding kubur-kubur biasa," katanya kepada Sinar Harian.

Asalnya adalah kawasan hutan

Daud berkata, kawasan yang terletak hanya 300 meter dari pusat bandar itu turut dikenali sebagai Kampung Kubur oleh penduduk tempatan.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan lanjut mengenai sejarah kampung itu, Daud memberitahu kawasan tersebut pada asalnya adalah kawasan hutan yang mana penempatan mula dibuka setelah menerima kurniaan tanah daripada Sultan Johor.

"Ada beberapa nama, dan paling selalu dengar Kampung Kubur lah. Sebab dahulu kawasan ini tidak mempunyai apa-apa yang boleh dijadikan petanda. Jadi bila sebut kubur orang dah tahu.

"Untuk pembukaan penempatan pula, saya difahamkan ia bermula apabila Sultan Johor sendiri mengurniakan beberapa tanah. Disebabkan itu kita boleh tengok jalan-jalan di sini dapat namanya daripada keluarga kerabat," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat lebih 100 unit rumah telah didirikan di kampung berkenaan yang mana melibatkan kawasan seluas enam hingga 4 hektar.

Sementara itu, menurut Ahli Sejarawan Johor, Kamdi Kamil, kanak-kanak lelaki yang dimaksudkan penduduk tempatan kampung itu adalah anak saudara kepada Baginda Sultan Abu Bakar.

Katanya, nama Mahmoodiah pula diambil sempena nama jenazah kanak-kanak berkenaan iaitu Mahmood dan merupakan jenazah pertama dikebumikan di sana.