25 warga asing ditahan cuba seludup keluar dari perairan Selangor

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Polis Marin menahan 25 pendatang asing termasuk seorang kanak-kanak perempuan ketika cuba menyeludup keluar dari negara ini menggunakan sebuah bot di pantai Pulau Carey, Kuala Langat awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata, kesemua mereka dan dua tekong bot ditahan kira-kira jam 1 pagi selepas bot itu berjaya dipintas oleh anggota Pasukan Polis Marin.

"Pemeriksaan mendapati 25 pendatang asing yang terdiri daripada 13 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan itu tidak memiliki dokumen perjalanan diri. Mereka mengaku ingin keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berumur lingkungan empat hingga 53 tahun kini direman selama 14 hari.

Kesemua 25 individu itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63 manakala dua tekong yang juga warga asing disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007. - Bernama

Artikel Berkaitan: