Halal On Track peluang industri dapat bimbingan permohonan sijil halal

Mohd Na'im berucap pada Majlis Perasmian Program Halal On Track di Universiti Malaya, pada Isnin. - Foto Bernama
Mohd Na'im berucap pada Majlis Perasmian Program Halal On Track di Universiti Malaya, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Halal on Track merupakan platform terbaik pihak industri untuk mendapatkan bimbingan, pemahaman dan penjelasan terperinci berkaitan permohonan sijil halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, menerusi program itu agensi berkaitan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri akan membantu memberikan penerangan mendalam tentang proses permohonan sijil halal, pembangunan Sistem Jaminan Halal (HAS) dan Sistem Kawalan Halal Dalaman (IHCS) serta lain-lain perkara berkaitan termasuklah bimbingan pengisian sistem MyeHalal dan semakan fail permohonan.

"Saya percaya program hari ini akan memberi manfaat yang besar kepada semua peserta dan membantu memperkukuh keupayaan industri dalam mematuhi standard dan piawaian berkaitan dengan produk halal,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program Halal on Track yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini pada Isnin.

Mohd Na’im ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, kebanyakan pemain industri tidak memahami berkenaan dokumen yang perlu dikemukakan kepada Bahagian Halal Jakim bagi mendapatkan pensijilan halal.

"Jadi Jakim mengambil inisiatif berdasarkan hasrat Timbalan Perdana Menteri untuk laksanakan sesi libat urus dengan industri dan hari ini terdapat 1,000 industri berpotensi yang ingin memohon sijil halal hadir sesi bimbingan secara bersemuka untuk mendapatkan pemahaman,” katanya.

Mohd Na’im berkata, selepas semua dokumen dilengkapkan dan semua peraturan dipatuhi oleh pihak industri, sijil halal akan dikeluarkan dalam tempoh maksimum 23 hari bekerja.

Sementara itu, pengurus operasi halal Nestle Products Sdn Bhd, Siti Hazlin Jantan ketika ditemui pada program itu berkata, pihaknya sebagai pemain industri yang berpengalaman sedia bekerjasama dengan Jakim dalam pelbagai program untuk berkongsi pengalaman dengan pemain industri baharu.

Pemangku Ketua Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M) Bhd, Hayazi Darus berkata, pembekalan ayam dari operasi ternakan berintegrasi sehingga ke perniagaan restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut telah diakui dan digunakan sebagai titik rujukan bagi prosedur pematuhan halal yang mantap oleh Jakim kerana kawalan mutu yang ketat dan berkesan. - Bernama

Artikel Berkaitan: