Sinar Harian menang tempat ketiga cari harta karun Sekatarakyat

Shamsul (dua dari kanan) dan Asmaliza (kanan) berjaya merangkul tempat ketiga bagi kategori media dalam pertandingan pencarian harta karun anjuran Sekatarakyat yang bertemakan Mission Impossible pada Sabtu.
Shamsul (dua dari kanan) dan Asmaliza (kanan) berjaya merangkul tempat ketiga bagi kategori media dalam pertandingan pencarian harta karun anjuran Sekatarakyat yang bertemakan Mission Impossible pada Sabtu.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Sinar Harian berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori media pada pertandingan pencarian harta karun antara koperasi anjuran Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad (Sekatarakyat) Kali Ke-11 Tahun 2023, pada Sabtu.

Kumpulan dianggotai Asmaliza Mansor dan Muhammad Shamsul Abd Ghani itu berjaya memenangi wang RM800 ringgit dan sijil penghargaan, sementara satu lagi pasukan Sinar Harian berjaya meraih hadiah saguhati.

Berucap ketika merasmikan pertandingan bertemakan Mission Impossible itu, Ketua Pengawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, melalui pertandingan dan aktiviti seperti itu, jaringan di antara peserta dan gerakan koperasi dapat diutuhkan dengan semangat setia kawan dalam kalangan mereka.

"Kerjasama antara koperasi patut digalakkan kerana dengan cara ini, kekuatan daripada 'diversity' dalam gerakan koperasi dapat digembleng.

"Kerjasama ini bukan hanya dalam bentuk aktiviti ekonomi dan program latihan sahaja, tetapi boleh juga dalam bentuk aktiviti riadah seperti yang dianjurkan oleh Sekatarakyat ini," katanya di menara kembar Bank Rakyat.

Tambahnya lagi, apa yang paling membanggakan pada tahun 2022, Sekatarakyat bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan menganjurkan Program Kembara 1922, bersempena dengan ulang tahun Ke-100 Gerakan Koperasi di Malaysia pada 3 Disember tahun lalu.

"Acara ini telah disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) dalam kategori Most Co-op Centre Visits yang mana peserta perlu melengkapkan tugasan mengikut ketetapan dengan membuat lawatan ke 1,922 koperasi iaitu simbolik dengan tahun bermulanya gerakan koperasi di Malaysia. Syabas Sekatarakyat!," katanya.

Pertandingan kali ini disertai 100 kereta dengan penglibatan daripada koperasi, Bank Rakyat, rakan perniagaan Sekatarakyat dan media.

Artikel Berkaitan:

Acara bermula di Menara Kembar Bank Rakyat di ibu negara dan berakhir di Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Tapah, Perak, manakala Majlis Penutupan pula diadakan di Sekata Makmur, Ringlet, Cameron Highlands, Pahang.

Mohammad Hanis; Pengerusi Sekatarakyat, Datuk Mohamed Arsad Sehan; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, (Dasar &Pembangunan) SKM, Amran Abd Kadir dan Bendahari Kehormat Sekatarakyat, Datuk Mustafha Abd Razak menyempurnakan pelepasan peserta pertandingan pencarian harta karun anjuran Sekatarakyat di Menara Kembar Bank Rakyat di ibu negara pada Sabtu.
Mohammad Hanis; Pengerusi Sekatarakyat, Datuk Mohamed Arsad Sehan; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, (Dasar &Pembangunan) SKM, Amran Abd Kadir dan Bendahari Kehormat Sekatarakyat, Datuk Mustafha Abd Razak menyempurnakan pelepasan peserta pertandingan pencarian harta karun anjuran Sekatarakyat di Menara Kembar Bank Rakyat di ibu negara pada Sabtu.

Pertandingan itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Sekatarakyat sejak 2010.

Sekatarakyat ialah pertubuhan yang ditubuhkan dengan tujuan untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggota-anggota mengikut prinsip koperasi dan menggalakkan anggota-anggota berjimat-cermat dengan menyimpan sebahagian daripada pendapatan dengan tetap dan memberi kemudahan kredit atau pembiayaan untuk maksud yang munasabah dan berguna.

Sekatarakyat dinobatkan pada kedudukan kelima dalam senarai 100 Profil Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun 2022.

Dalam pada itu, sempena pertandingan tahun ini, Sekatarakyat turut mengambil peluang memperkenalkan Sekata Makmur yang mula dibuka sepenuhnya pada 20 Mac 2022.

Dilengkapi 24 unit di Jalan ODP 12, Taman Orchid Deluxe, Mukim Ringlet, Cameron Highlands, bangunan itu diubah suai bagi menyediakan penyewaan bilik mesyuarat, bilik persidangan, dewan serbaguna dan kemudahan kolam renang di Ringlet dan kawasan sekitar Cameron Highlands.

Kemudahan itu disediakan khusus kepada ahli anggota koperasi dan juga terbuka kepada orang ramai, jabatan kerajaan dan swasta untuk menggunakan fasiliti tersebut.