Penjana Kerjaya: Bekas pereka dalaman didakwa kemuka dokumen palsu

Seorang bekas pereka dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) berjumlah RM9,500, dua tahun lalu. - Gambar hiasan
Seorang bekas pereka dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) berjumlah RM9,500, dua tahun lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pereka dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) berjumlah RM9,500, dua tahun lalu.

S. Kamala Segaran, 47, didakwa sebagai pemilik syarikat Tech Train Consultancy memberikan tiga dokumen mengandungi butiran palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja atas nama syarikat berkenaan bagi menuntut insentif daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Mengikut pertuduhan, tertuduh menuntut insentif Penjana masing-masing RM4,340, RM2,260 dan RM2,900 daripada dua pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat agensi itu dengan niat memperdayakan Perkeso.

Dokumen itu mengandungi pernyataan palsu mengenai tiga nama pekerja baharu syarikat Tech Train Consultancy sedangkan mereka bukan pekerja syarikat berkenaan.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak, Kampung Baru, di sini, pada 25 Jun, 23 November dan 21 Disember 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Yasir Yahya menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam R. Babu Naidu, mewakili Kamala, memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang tempoh siasatan selain diisytiharkan muflis sejak 2014.

Artikel Berkaitan:

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi tiga pertuduhan itu dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 6 November ini untuk sebutan kes. - Bernama