Penjawat awam masih boleh miliki rumah mampu milik

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung kekeliruan ketetapan baharu Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak khususnya kesatuan itu demi kepentingan bersama.

"Setakat ini memang tidak ada perjumpaan dengan mereka (Cuepacs). Mereka boleh bagi pandangan dan adakan pertemuan dengan saya.

"Ketika kita merancang untuk melaksanakan dasar itu kita telah ambil kira semua aspek. Mungkin mereka tidak faham dengan keseluruhan konsep rumah mampu milik itu,"katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rayuan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda agar kerajaan mengekalkan dasar sedia ada yang memberi jaminan rumah mampu milik khusus untuk penjawat awam.

Kata Azih, ketetapan baharu itu perlu disusun semula dan keperluan penjawat awam perlu dipertimbangkan kerana golongan itu tidak mampu bersaing dengan pekerja daripada sektor swasta yang gajinya jauh lebih tinggi.

Terdahulu, KPKT mengumumkan tiada lagi pengkhususan rumah mampu milik khas untuk penjawat awam dilaksanakan serta merta susulan siapnya 38,000 unit rumah mampu milik.

Kira-kira 9,000 pemohon rumah mampu milik dalam kalangan penjawat awam akan menjadi kumpulan pertama pelaksanaan ketetapan baharu DRMM Negara dan SPK tahun ini.

Artikel Berkaitan: