97 peratus kemudahan Pangkalan Bekalan Tok Bali sudah dipenuhi

TBSB di Tok Bali, Pasir Puteh. - Photo media sosial. Gambar kecil: NUR HASMIN
TBSB di Tok Bali, Pasir Puteh. - Photo media sosial. Gambar kecil: NUR HASMIN
A
A
A

PASIR PUTEH - Sebanyak 97 peratus kemudahan perkhidmatan yang dibangunkan meliputi keluasan kira-kira 28 hektar di Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) di sini sudah dipenuhi sejak mula beroperasi pada tahun 2014.

Pengurus Besar TBSB, Nur Hasmin Kamaruzzaman berkata, kemudahan-kemudahan tersebut dimanfaatkan oleh lebih 30 klien termasuk empat syarikat pengeluar minyak terkemuka dalam negara selain agensi perkapalan, logistik serta minyak dan gas.

Kata beliau, pihaknya dalam usaha menambahkan lebih banyak fasiliti di pangkalan itu bagi menampung permintaan masa depan daripada syarikat-syarikat baharu yang menerima projek-projek di perairan negeri Kelantan.

“Kita akan tambah beberapa tapak gudang yang akan dibangunkan tahun depan bergantung kepada permintaan. Bagi kemudahan semasa, sudah 97 peratus digunakan dan menuju ke arah optimum.

“Pembangunan fasiliti baharu perlu dilakukan bagi menampung kedatangan syarikat-syarikat yang baru mendapat projek-projek di perairan negeri ini dan dijangka mula beroperasi dalam dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Syarikat BSL Containers Sdn Bhd Cawangan Tok Bali di TBSB di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah Urusan Syarikat BSL Oilfield Services, Fauziah Tranchand dan Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Nor Sham Sulaiman yang merasmikan majlis itu.

Nur Hasmin berkata, TBSB membuka banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat dan masih ada ruang yang berpotensi tinggi belum diterokai di sekitar kawasan pangkalan terbabit.

“Kami masih lagi dalam fasa hendak melengkapkan ekosistem bagi menyokong pembangunan industri luar persisir di negeri ini. Contohnya, keperluan untuk perkhidmatan membekal peralatan penyelenggaraan seperti cat dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Nur Hasmin (kanan) memberi penerangan kepada Fauziah (tengah) dan Nor Sham (kiri) ketika lawatan melihat kontena luar persisir di TBSB di Tok Bali, Pasir Puteh.
Nur Hasmin (kanan) memberi penerangan kepada Fauziah (tengah) dan Nor Sham (kiri) ketika lawatan melihat kontena luar persisir di TBSB di Tok Bali, Pasir Puteh.

“Barangan ini kami masih lagi perlu mendapatkannya daripada pembekal di Kemaman, Terengganu dan dibawa masuk untuk kegunaan di negeri ini,” katanya.

Menurut Nur Hasmin, sebelum ini TBSB pernah berhubungan dengan pelabur di Kelantan untuk tujuan itu dan sangat galakkan syarikat-syarikat anak tempatan yang mampu bekerjasama dengan syarikat luar segera merebut peluang terhidang sekali gus dapat meningkatkan ekonomi dalam negeri serta negara.

Kata beliau, pihaknya mencatatkan keluar masuk seramai lebih 500 individu yang melakukan urusan berkaitan di TBSB antaranya syarikat-syarikat penyewa dan klien-klien selain selain 280 kakitangan syarikat terbabit sendiri.

“TBSB juga merekodkan pergerakan keluar masuk kapal sebanyak 1,200 setiap tahun manakala setakat September tahun ini sudah mencapai angka 800 seterusnya dijangka meningkat menjelang hujung Disember.

“Pekerja-pekerja di TBSB pula terdiri daripada 95 peratus warga tempatan dari Kota Bharu hingga ke kawasan sekitar di Pasir Puteh,” ujarnya.