23 tahun penuh kegemilangan

Bandar raya Shah Alam mengalami proses perbandaran terancang demi memastikan warganya menikmati pembangunan selesa serta memenuhi kualiti kehidupan.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Nor Fuad)
Bandar raya Shah Alam mengalami proses perbandaran terancang demi memastikan warganya menikmati pembangunan selesa serta memenuhi kualiti kehidupan.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Nor Fuad)
A
A
A

SHAH ALAM - Tarikh 10 Oktober merupakan tarikh yang amat bermakna kepada seluruh warga bandar raya Shah Alam dan warga kerja MBSA kerana itulah detik Shah Alam telah dinaik taraf sebagai bandar raya, 23 tahun yang lalu.

Menelusuri garis masa selama 23 tahun ini, Shah Alam telah mengalami perubahan pesat seiring dengan perkembangan teknologi.

Bandar raya Shah Alam mengalami proses perbandaran terancang demi memastikan warganya menikmati pembangunan selesa serta memenuhi kualiti kehidupan.

Berpaksikan Matlamat Pembangunan Mampan, Shah Alam kini giat berusaha menuju ke arah bandar raya pintar, berdaya huni, berdaya saing dan mampan.

Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata, usaha tersebut dilaksanakan secara holistik dan komprehensif dengan sokongan penuh daripada warga bandar raya itu.

“Justeru, syabas dan tahniah kepada seluruh warga kota Shah Alam yang amat komited dalam memastikan bandar raya yang dicintai ini terus maju, cemerlang dan memenuhi keperluan generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Harian

Nor Fuad berkata, sebagai menghargai warga Shah Alam dan sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Kali Ke-23, pelbagai aktiviti dan promosi yang dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan di antara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan warga Shah Alam.

Shah Alam telah mengalami perubahan pesat seiring dengan perkembangan teknologi. - Gambar hiasan.
Shah Alam telah mengalami perubahan pesat seiring dengan perkembangan teknologi. - Gambar hiasan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, antara program yang akan dilaksanakan adalah Program Bicara Ilmuwan Shah Alam Berselawat pada 14 Oktober 2023 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Kejohanan Catur Shah Alam pada 21 Oktober 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 Shah Alam dan Program Konvoi Jelajah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) pada 21 Oktober 2023 di MPP Zon 21 (Utara), MPP Zon 1 (Tengah) dan MPP Zon 9 (Selatan).

“MBSA juga akan mengadakan Shah Alam City Exciting Race pada 22 Oktober 2023 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam;Hari Mesra MBSA pada 24 Oktober 2023 di iCity Central, Seksyen 7, Shah Alam dan Pesta Bunga & Pameran Anggerik Shah Alam pada 25 hingga 29 Oktober di Taman Persahabatan Selangor-Jepun, Dataran Kemerdekaan, Shah Alam,” katanya.

Nor Fuad berkata, MBSA juga akan menganjurkan Pertandingan Memancing Shah Alam pada 29 Oktober 2023 di Taman Tasik Shah Alam dan Kejohanan Kayak pada 29 Oktober 2023 di Taman Tasik Shah Alam.

“MBSA juga turut menawarkan beberapa insentif untuk dikongsi bersama warga bandar raya itu bermula pada 1 hingga 31 Oktober 2023.

“Antara insentif itu ialah kempen pengurangan kompaun terpilih sebanyak 75 peratus dan RM10 terhadap kompaun kesalahan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007,” katanya.

Selain itu, keahlian percuma sepanjang bulan Oktober juga diberikan kepada mereka yang ingin menjadi ahli perpustakaan yang disediakan oleh MBSA.

Insentif dan program yang disediakan ini adalah untuk menghargai warga Shah Alam yang telah bersama-sama menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya yang hebat dan ikonik di negara ini.