Sampel beras didakwa beras plastik akan dianalisis - KPB

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ab Alim
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ab Alim
A
A
A
KOTA KINABALU - Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Sabah telah mengambil sampel beras yang didakwa plastik daripada premis peruncit dan pembekal untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Sampel itu diambil sebagai tindakan aduan berhubung isu tular dakwaan penjualan beras plastik di sebuah premis di salah sebuah daerah di negeri ini.

Pengarah KPB Sabah Ab Alim Multazam berkata, pihaknya telah menerima aduan secara rasmi daripada peruncit dan pembekal jenama beras tersebut berhubung isu tular itu.

Katanya, susulan aduan itu siasatan segera dijalankan dan seterusnya sampel beras telah diambil daripada premis runcit dan juga gudang beras berkenaan.

"Pihak KPB sudah menjalankan siasatan berkaitan dakwaan ini dengan melakukan pengambilan sampel beras di kedai runcit pada jam 11 pagi tadi dan di gudang pada jam 12 tengah hari ini untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.

"Bagaimanapun, pihak KPB menangkis dakwaan terdapat beras plastik di dalam negara ini secara amnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Ab Alim berkata, setiap kemasukan beras import, pihak Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan terlebih dahulu membuat ujian makmal bagi memeriksa keselamatan bahan makanan berkenaan.

"Selain itu, pihak negara pengeksport juga diminta untuk mengemukakan sijil keselamatan sebagai salah satu syarat ditetapkan.

"Proses ini amat dititikberatkan untuk setiap kemasukan beras import ke negara ini bagi menjamin keselamatan terhadap beras yang merupkan makanan ruji rakyat di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Ab Alim menegaskan bahawa pihak KPB tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegusaran awam terhadap isu keselamatan makanan terutamanya berkaitan beras.
Artikel Berkaitan:


Ab ALim berkata, pihak KPB juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap yang tidak bertanggungjawab dengan menularkan dakwaan palsu berkaitan beras.

Sehubungan itu, Ab Alim berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tampil membuat aduan secara rasmi ataupun mendapatkan keterangan sahih daripada KPB dan bukannya menyebarkan sebarang maklumat palsu atau tidak berasas di media sosial.

"Biarlah pihak bertauliah atau pakar membuat pengesahan mengikut kaedah ditetapkan. Jangan membuat keputusan sendiri yang akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri yang sekaligus melibatkan integriti pihak lain.

"Pihak KPB sentiasa komited dalam memastikan keterjaminan makanan selamat digunakan oleh pengguna di negara ini," katanya.