Malaysia kekal pendirian hak rakyat Palestin perlu dikembalikan

Ahmad Zahid menyatakan pendirian Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel ketika persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
Ahmad Zahid menyatakan pendirian Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel ketika persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel untuk membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu juga termasuk hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel.

Ujar beliau, pendirian lantang dan tegas Malaysia sudah kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa.

“Ia termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ketegasan Malaysia juga jelas dapat dilihat berdasarkan kenyataan keras yang seringkali dikeluarkan negara dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel.

“Ia termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus menekan rejim Israel agar menghentikan dasar apartheid, dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam sesi usul perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Zahid, Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit serta realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

“Penyelesaian ini hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB serta memenuhi teras-teras yang telah saya nyatakan dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas daripada pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

“Sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia amat jelas dan merentasi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti, termasuk pembangunan semula infrastruktur,” menurutnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa ahli-ahli Parlimen menyokong sepenuhnya ketetapan yang digariskan kerajaan atas semangat perpaduan dan soladiriti rakyat Malaysia dan berdasarkan prinsip Malaysia Madani seperti kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan.

Menurutnya, antara ketetapan itu adalah, Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan segera untuk menggesa semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran demi menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

“Masyarakat antarabangsa hendaklah meningkatkan tekanan ke atas semua pihak untuk mengambil tindakan segera menghentikan pertempuran demi keamanan dan kestabilan serantau.

“Rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” jelasnya.