Bung Moktar nafi gagal bangunkan Kinabatangan

Bung Moktar (tiga dari kiri) beramah mesra bersama penduduk ketika menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat di Bukit Gam, Kinabatangan.
Bung Moktar (tiga dari kiri) beramah mesra bersama penduduk ketika menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat di Bukit Gam, Kinabatangan.
A
A
A

KINABATANGAN - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menolak dakwaan pihak tertentu bahawa beliau gagal membawa projek pembangunan di kawasannya selama ini.

Sebaliknya, Pengerusi UMNO Sabah itu memaklumkan kerajaan pusat melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan sebanyak RM18 juta untuk Parlimen Kinabatangan pada tahun ini.

Menurutnya, peruntukan itu adalah untuk meningkatkan dan menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.

"Kita memang ada perancangan untuk terus meningkatkan kemudahan infrastruktur asas di kawasan Parlimen Kinabatangan sejak dahulu lagi.

"Justeru, agak aneh jika ada pihak terutama pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya di kawasan ini mendakwa sebagai ahli Parlimen, saya gagal membawa projek pembangunan ke kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat di Bukit Garam pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu menjelaskan secara terperinci antara kemudahan yang dinaik taraf termasuk jalan tidak berturap ke jalan konkrit membabitkan peruntukan RM4 juta yang kini dalam proses perlaksanaan.

"Selain itu, RM6 juta lagi bagi membina dewan serbaguna baharu di Pekan Kota Kinabatangan yang kini dalam proses pembinaan dan RM5 juta untuk membina pasar awam baharu yang kini dalam proses tender serta RM3 juta untuk membina pusat pelupusan sampah Kinabatangan," katanya.

Tambah beliau, pada tahun hadapan lebih banyak peruntukan daripada kerajaan Persekutuan akan diberikan di seluruh Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kita jangka lebih banyak lagi infrastruktur akan dibina tahun ini dan peruntukan besar itu disalurkan bagi memastikan semua rakyat menerima faedah daripada kerajaan yang memerintah," katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar menegaskan bahawa dakwaan pihak terbabit adalah tidak berfakta.

"Mereka hanya bercakap untuk menaikkan imej serta kepentingan politik masing-masing tetapi apabila projek dilaksanakan kerajaan pusat ada yang terus mendakwa itu adalah usaha mereka.

"Kita akan terus bekerja dan berusaha memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan khususnya di kawasan ini, tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan daripada kerajaan negeri yang menganggap kita sebagai pembangkang walaupun Barisan Nasional (BN) sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan," katanya.