Zambry lakukan lawatan rasmi ke Sri Lanka

Zambry
Zambry
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mengadakan lawatan rasmi ke ibu negara Sri Lanka, Colombo, dari 9-12 Oktober ini.

Semasa lawatan itu, Zambry dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, Mohamed Uvais Mohamed Ali Sabry yang akan memberi peluang terbaik kepada kedua-dua pihak untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah sekian lama terjalin serta meneroka bidang kerjasama baharu yang berkepentingan bersama.

"Zambry juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Sri Lanka, Dinesh Gunawardena, dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe,” menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).

Menteri luar juga akan mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan di Sri Lanka untuk meneroka potensi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Sebagai sebahagian daripada program rasminya di Sri Lanka, Zambry juga akan menghadiri Mesyuarat ke-23 Majlis Menteri-Menteri Persatuan Lingkaran Lautan Hindi (IORA) pada 11 Oktober.

"Kehadiran Zambry memberikan dorongan untuk mengukuhkan lagi penglibatan Malaysia di rantau perairan Lautan Hindi dan kawasan sekitarnya,” menurut kenyataan itu.

Pada 2022, Sri Lanka merupakan rakan dagangan ke-48 terbesar Malaysia di peringkat global, dengan jumlah dagangan bernilai RM3.78 bilion (AS$0.85 bilion), peningkatan 13.2 peratus daripada RM3.34 bilion (AS$0.81 bilion) yang dicatatkan pada 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: