'Jangan ganggu UiTM'

Muhammad Afiqq Noh
Muhammad Afiqq Noh
A
A
A

MACHANG - Persatuan Kebajikan Anak-Anak Muda Kelantan mengingatkan semua pihak supaya tidak terus menerus mengganggu kedudukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai institusi pengajian bagi orang Melayu dan Bumiputera.

Pengerusinya, Muhammad Afiqq Noh berkata, mana-mana pihak tidak wajar mengemukakan permintaan menuntut kelonggaran untuk golongan bukan Bumiputera diterima masuk ke UiTM.

"UiTM diwujudkan untuk merapatkan jurang ekonomi Bumiputera supaya dapat bersaing dengan bangsa lain di Malaysia dan membantu mobiliti sosial tanpa mengira latar belakang.

"Isu ini seringkali 'diulang tayang' dan ia seolah-olah mempunyai agenda lain di sebalik kelonggaran yang disebut-sebut itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas artikel yang disiarkan sebuah portal yang bertajuk " Time to open UiTM to all Malaysians yang disiar semalam.

Menurutnya, kewujudan UiTM adalah sebahagian daripada keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka yang ada di kampung paling tersorok hari ini pun berpeluang masuk ke UiTM, malah menerusi program khas turun padang dari kampung ke kampung bertujuan mengubah nasib bangsa Melayu dan Bumiputera.

"Bangsa lain masih mempunyai peluang yang luas bagi menyambung pendidikan di pusat pengajian tinggi yang lain dan tidak perlu terus mempersoalkan UiTM dan hak istimewa Bumiputera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Afiqq yang juga alumni UiTM berkata, dalam masa yang sama semua penuntut UiTM termasuk alumni perlu memahami secara jelas akan penubuhan universiti ini seterusnya mempertahankan hak dan keistimewaan UiTM.

“Kalau kita sendiri gagal untuk tidak memahami dan mendalami isi kandungan UiTM maka kita akan kalah dalam perjuangan membina anak bangsa sendiri. UiTM adalah diri kita dan juga maruah kita," katanya.