'Maaf tak dapat hadiahkan kemenangan di Pelangai'- Cikgu Kasim

Kasim Samat
Kasim Samat
A
A
A

BENTONG - Calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat reda dengan kekalahan dan menyifatkan ia kemenangan yang tertunda selepas tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Menurutnya, kekalahan dan kegagalan itu dianggap sebagai pembuka jalan untuk jalan yang lebih luas di masa akan datang.

"Keputusan sudah kita terima. Alhamdulillah, saya menerima kekalahan ini dengan reda dan berlapang dada.

"Buat warga penduduk Pelangai dan anak murid yang sanggup berkorban, pulang dari jauh mengundi PN, mohon ampun dan maaf, cikgu tidak dapat menghadiahkan kalian kemenangan.

"Apa yang diimpikan manusia, tidak mesti itu yang kita akan dapat biarpun kita telah berusaha sedaya upaya mendapatkannya," kata beliau dalam hantaran Facebook miliknya pada Ahad.

Beliau yang juga mesra dengan panggilan Cikgu Kasim itu turut menghargai sokongan pelbagai pihak terhadapnya.

"Terima kasih atas sokongan semua, khusus kepada 'hero-hero' di belakang tabir yang sentiasa bersedia dengan sukacita memberi sepenuh jiwa raga membantu perjuangan melahirkan seorang wakil rakyat siang dan malam tanpa lelah.

"Kalian ibarat bintang-bintang di langit. Bintang yang sentiasa berusaha memberi cahayanya, semakin langit itu gelap semakin ia akan bersinar dan menyinari. Biar baktinya cuma sebentar, kehadirannya cukup dirasai," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Jelas Kasim lagi, beliau tidak mampu membalas jasa semua pihak terlibat dan memanjatkan permohonan kepada ALLAH agar dikurniakan ganjaran sebaik-baiknya.

"Sungguh kita telah rancang segala yang terbaik mengikut kadar kemampuan dan keupayaan kita. Selebihnya kita yakini ALLAH yang lebih tahu bagaimana mahu mengatur pemberian-Nya

"Kepada ALLAH jua kita berserah diri dan berbaik sangka. Kebenaran itu terkadang ia lemah tetapi ia tetap akan menang. Kebatilan itu terkadang ia menang tetapi percayalah, ia tidak akan berkekalan.

"Terima kasih sahabat semua. Ayuh, kita terus berjuang!," tegas beliau lagi.

Pada PRK tersebut, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.

Keputusan itu menyaksikan majoriti diperolehi merosot berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Amizar memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.