Lebih 200,000 pengunjung meriahkan MSAM 2023

Mohamad (tiga dari kanan) dan Arshad (kanan) bergambar bersama tiga pemenang hadiah utama MSAM termasuk sebuah rumah teres bernilai RM500,000, sebuah kereta dan motosikal.
Mohamad (tiga dari kanan) dan Arshad (kanan) bergambar bersama tiga pemenang hadiah utama MSAM termasuk sebuah rumah teres bernilai RM500,000, sebuah kereta dan motosikal.
A
A
A

KEPALA BATAS - Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 yang diadakan di Setia Fontainers, Bertam di sini mencatatkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung sepanjang sembilan hari diadakan.

Karnival celik kewangan tahunan terbesar yang dianjurkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu bukan sahaja menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini malah pengunjung dari negeri berhampiran.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, penganjuran MSAM menjadi platform untuk membantu meningkatkan tahap literasi kewangan rakyat terutama dalam membuat keputusan kewangan yang lebih baik untuk masa depan mereka.

Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik tema MSAM 'Bijak Melabur, Santai Berhibur' dan penerapan elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) ke dalam gerai pameran, aktiviti yang diadakan sepanjang karnival ini berlangsung.

Beliau yakin dengan pengisian serta pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang MSAM berlangsung, pengunjung bukan sahaja dapat berhibur selain berpeluang memenangi hadiah lumayan tetapi dapat banyak manfaat dari aspek pelaburan dan perancangan kewangan.

"Pelaksanaan MSAM ini selaras dengan VISI Penang 2030 iaitu ke arah membangunkan masyarakat berpengetahuan, berinovasi dan mampu bersaing ke peringkat global melalui pendidikan dan ekonomi yang lebih inklusif.

"Malah, MSAM juga contoh paling dekat dalam pemerksaan Malaysia Madani apabila ia menjadi platfom meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia serta menggabungkan elemen STEM,"katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup MSAM 2023 di sini, pada Ahad.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, serta kepimpinan kanan rakan korporat MSAM 2023.

Artikel Berkaitan:

MSAM 2023 yang bermula pada 30 September hingga 8 Oktober itu memberi fokus kepada elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang diterapkan dalam kandungan dan ruang pameran.

MSAM 2023 memulakan perjalanan pertamanya pada tahun 2000 di Kuala Lumpur dengan 60,000 pengunjung yang mana, ia menyaksikan pertumbuhan yang mengagumkan dalam bilangan pengunjungnya.

Sejak ia diadakan, MSAM telah menerima lebih 3.9 juta pengunjung, menarik pengunjung dari kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar.

Sementara itu, Arshad dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur berikutan MSAM kali ini telah menarik minat pengunjung pelbagai lapisan masyarakat dan umur.

"Ini merupakan suatu perkembangan positif, dan membantu usaha PNB untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang celik pelaburan.

“Selain itu, PNB juga amat menghargai sokongan para pelabur terhadap unit-unit amanah yang diuruskan oleh PNB. Kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap PNB yang mengurus dana-dana unit amanah ini amat kami hargai,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Arshad turut merakamkan penghargaan kepada Rakan Korporat MSAM 2023, yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan MSAM terus menjadi antara karnival yang dinanti-nantikan di negara ini.